Selasa, 18 Januari 2011

Permohonan semakan keputusan inkues Teoh didengar 31 Jan

THE MALAYSIAN INSIDER


KUALA LUMPUR — Mahkamah Tinggi Shah Alam akan mendengar permohonan semakan terhadap keputusan terbuka inkues Teoh Beng Hock pada 31 Januari ini.

Peguam Gobind Singh Deo yang mewakili keluarga Teoh memaklumkan perkembangan itu menerusi mesej Twitter kira-kira 9.30 pagi tadi.

Hakim Datuk Mohtaruddin Baki telah dilantik untuk mendengar permohonan itu, jelas Gobind kepada The Malaysian Insider menerusi mesej SMS kemudian.

Teoh Lee Lan, adik perempuan mendiang pula kelihatan terkejut dengan perkembangan tersebut.

“Ini kali pertama saya mendengar mengenai perkara ini,” kata beliau kepada The Malaysian Insider ketika dihubungi.

Katanya, dia akan menghubungi Gobind sebelum mengulas lanjut mengenainya.

Pada 7 Januari lalu, Peguam Negara Tan Sri Abdul Gani Patail telah memfailkan permohonan kepada Mahkamah Tinggi bagi semakan terhadap keputusan terbuka oleh Mahkamah Koroner dalam inkues kematian bekas setiausaha politik itu, yang diumumkan dua hari sebelum itu.

Koroner Azmil Muntapha Abas memutuskan kematian Teoh pada 2009 bukan disebabkan bunuh diri ataupun homisid.

Keluarga Teoh juga dilaporkan akan membuat permohonan semakan, tetapi pada masa yang sama banyak pihak meminta satu suruhanjaya diraja siasatan bagi mencari punca Teoh didapati mati di Plaza Masalam, Shah Alam ketika berada dalam siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia.

Tiada ulasan: