IPOH – Seorang remaja lelaki beragama Sikh enggan meneruskan program latihan khidmat negara selepas mendakwa beliau mengalami trauma apabila rambutnya dipotong semasa sedang tidur Ahad lepas.
Basant Singh, 18, berkata kejadian itu sangat mengejutkan beliau kerana rambutnya tidak pernah digunting sejak lahir sebagai mematuhi ajaran agama.
“Saya tidak berpuas hati dan tidak mahu meneruskan lagi latihan ... saya mahu pihak berkuasa menyiasat serta mengambil tindakan undang-undang terhadap pihak bertanggungjawab,” katanya pada sidang akhbar di rumahnya yang di kawasan Rumah Ibadat Sikh Wadda Gurdwara Sahib di sini.
Basant telah membuat laporan polis di Balai Polis Bandar Baharu, Kedah pada petang Ahad berhubung insiden itu yang dipercayai berlaku antara 3 pagi hingga 6.30 pagi Ahad.
Beliau mendakwa insiden itu berlaku semasa beliau sedang tidur di asrama lelaki Kem Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) Sungai Bakap, Pulau Pinang, awal pagi Ahad lepas.
Katanya, beliau yang mengikuti latihan di kem itu sejak 4 Januari hanya menyedari perkara itu apabila bangun tidur pada kira-kira pukul 6.30 pagi dan mendapati rambutnya yang sebelum ini panjang hingga mencecah pinggang didapati sudah pendek sekadar paras bahu, dipercayai dipotong antara 50 hingga 60 sentimeter.
Basant berkata beliau terus menghubungi ayahnya, Surinderpal Singh, 46, bagi memaklumkan perkara itu dan pihak kem kemudian membenarkan beliau bercuti selama seminggu dan melaporkan diri semula pada Ahad ini.
Beliau berkata 10 pelatih lain yang tinggal bersamanya turut terkejut dengan kejadian itu dan mengesyaki ia dilakukan oleh penceroboh kerana asrama berkenaan tidak berkunci.
Katanya, kesemua pelatih yang tinggal bersama dalam asrama berkenaan berasal dari Ipoh, Perak dan beliau mengenali mereka.
Sementara itu, ayahnya Surinderpal berkata beliau juga tidak bersetuju anaknya kembali meneruskan latihan di kem berkenaan kerana bimbangkan keselamatannya.
“Jika ketika tidur orang lain boleh sewenang-wenangnya masuk ke asrama dan memotong rambut penghuninya, tidak mustahil pada masa akan datang mereka memotong leher anak saya tanpa sedar,” katanya.
Di Putrajaya, Ketua Pengarah Jabatan Latihan Khidmat Negara (JLKN) Datuk Abdul Hadi Awang Kechik berkata pihaknya sedang menyiasat aduan itu dan akan mengambil tindakan tegas terhadap pihak yang bertanggungjawab.
Bagaimanapun, katanya kesemua 27 pelatih di bilik yang sama telah disoal siasat dan pihaknya tidak menemui objek tajam atau rambut yang dikatakan dipotong.
“Menteri Pertahanan (Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi) telah mengarahkan agar kajian terperinci dibuat dan saya telah mengarahkan Pengarah Operasi JLKN Kol Sanusi Hashim untuk mengetuai siasatan tersebut,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Abdul Hadi berkata pihak pengurusan kem PLKN sedia maklum tentang agama Sikh dan rambut mereka tidak boleh dipotong dan pelatih-pelatih diberi ingatan supaya bahasa, agama dan kebudayaan rakan-rakan mereka dihormati.
Komandan kem telah memberi cuti kepada pelatih berkenaan berasaskan permohonan ibu bapa pelatih untuk mendapatkan ketenangan jiwa dan secara kebetulan pelatih tersebut mempunyai temu janji dengan doktor gigi pada Jumaat ini, katanya sambil menyatakan kecewa dengan kejadian itu.
Abdul Hadi juga berkata pelatih sememangnya tidak dibenarkan untuk membawa sebarang objek tajam dan pihak pengurusan mempunyai pengawasan yang ketat terhadap perkara tersebut.
12 ulasan:
Harap isu ini akan disiasat untuk mengetahui perkara sebenar.
perlu dikenal pasti siapa yang memotong rambut pelatih PLKN Sikh.
Sungguh ganjil. Kenapa pula ada orang mahu potong rambut budak tersebut. hmm..
Pastikan hal ini akan disiasat.
siasatan pertama telah dijalankan dan mendapati tidak ada bukti samada rambut yang dipotong mahupun sebarang alatan tajam yang digunakan di bilik pelatih tersebut. siasatan kedua sedang dijalankan dan saya harap tidak ada pihak yang sengaja menghangatkan isu ini atau menimbulkan sebarang spekulasi negatif.
kini soal keselamatan dalam kem PLKN kembali dipersoalkan..
siasatan harus dilakukan untuk mencari dan menahan pihak yang bertanggungjawab.
sehingga siasatan selesai dilakukan dan kebenaran diketahui, tidak perlu menimbulkan spekulasi atau mengambil kesempatan kerana akan menjejaskan siasatan.
Melampau la bah.. Napa juga mahu potong rambut orang..
Apapun hal ni haruslah disiasat dan buatlah apa yang patut.
Ini mesti ada budak nakal yang buat perkara ini semua.harap pihak PLKN dapat menyiasat perkara ini.
Siatan lanjut harus dilakukan. Tidak mungkin pelajar itu sendiri memotong rambutnya tanpa menyedarinya. Mesti ada yang tdak kena. Siasatan harus dilakukan.
Catat Ulasan