LABIS— Pakatan Rakyat mempelawa Datuk Seri Najib Razak untuk berdebat soal ekonomi mengenai Program 100 Hari Pakatan Rakyat di sini sempena kempen pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Tenang.
Pengarah Pilihan Raya PAS kerusi Tenang Salahuddin Ayub berkata, pilihan raya kecil yang berlangsung sekarang adalah medan terbaik untuk “debat agung” antara dua tokoh utama negara iaitu Najib dan Ketua Umum Parti Keadilan Rakyat (PKR) Datuk Seri Anwar Ibrahim.
“Datuk Seri Anwar telah mengumumkan program 100 hari Pakatan Rakyat namun dikecam hebat oleh pihak kerajaan Umno-Barisan Nasional (BN) yang didahului Perdana Menteri (Najib) dan Timbalan Perdana Menteri (Tan Sri Muhyiddin Yassin).
“Pelbagai kecaman dan tuduhan jahat termasuk negara akan bankrap seandainya Pakatan Rakyat mengambil alih Putrajaya, ternyata Perdana Menteri dan timbalannya sekadar mampu buat tuduhan dan menakutkan-nakutkan rakyat.
“Maka kami jentera pilihan raya PAS-Pakatan Rakyat bersedia memberikan pentas bebas dan wibawa serta ruang seluasnya bagi kedua-dua pemimpin ini meyakinkan rakyat dengan penghujahan ‘Mengapa Pakatan Rakyat atau BN Yang Wajar di sokong rakyat,” katanya di sini.
Naib Presiden PAS itu berkata, Najib tidak wajar menolak pelawaan itu kerana rakyat khususnya pengundi di Tenang perlu mendapatkan maklumat dan informasi terhadap urus tadbir negara.
“Datuk (Seri) Najib tidak wajar menolak undangan kami ini, beliau tidak mempunyai pilihan andainya beliau konsisten, berani dan tidak berdolak-dalik dalam komitmen.
“Beliau (Najib) jangan lari, saya rasa beliau tiada lagi hujah untuk tolak tawaran ini. Kalau takut nak guna perkataan debat kita tukar kepada sesi diskusi,” katanya.
Sebelum ini, Anwar mencabar Najib berdebat soal ekonomi mengenai Program 100 Hari Pakatan Rakyat, namun ditolak pengerusi BN itu.
Najib berkata Anwar tidak perlu bersusah payah memikirkan soal debat kononnya demi kebajikan rakyat kerana BN akan bertanggungjawab dalam memastikan soal kebajikan rakyat dipelihara.
Selasa lalu, Anwar sekali lagi mencabar Najib agar berdebat dengan beliau berhubung kedudukan ekonomi negara dan juga mengenai Buku Jingga Pakatan Rakyat dengan menulis surat secara formal.
Pada 19 Disember lalu, Pakatan Rakyat menawarkan Program 100 Hari yang terdiri daripada 10 inisiatif jika pihaknya mengambil alih Putrajaya dalam pilihan raya umum ke-13.
Dalam kempen pertama Anwar di Tenang, bekas timbalan perdana menteri itu mencabar Najib berdebat mengenai soal peribadi jika perdana menteri terus menyerang soal peribadinya dan tidak sanggup sentuh dasar ekonomi kedua-dua perikatan.
Gelanggang kempen kerusi DUN Tenang dibuka secara rasmi Sabtu lalu dengan menyaksikan persaingan satu lawan satu antara calon BN dan Pakatan Rakyat.
BN menurunkan Mohd Azahar Ibrahim iaitu bekas Penolong Pentadbir Tanah Daerah Kecil Rengit manakala PAS yang mewakili Pakatan Rakyat mencalonkan Ketua Dewan Muslimat Labis Normala Sudirman.
Dalam isu salam yang membabitkan Normala, Salahuddin berkata perkara itu bukan isu dan parti Islam itu tidak bimbang jika BN akan terus menggunakan isu tersebut.
“Ia bukan isu, malah dalam penggunaan sarung tangan ia bukan hanya Normala tetapi telah digunakan di peringkat antarabangsa.
“Kita tidak takut kalau BN akan gunakan itu itu (salam) dan negara Islam, saya percaya kalau BN tak guna isu ini mereka akan tetap gunakan isu agama,” katanya.
Kempen BN pada pilihan raya kecil Tenang dilihat memberikan tumpuan kepada cara bersalam Normala yang tidak bersalam dengan lelaki.
Kontroversi itu terlebih dahulu ditimbulkan Presiden MCA Datuk Seri Dr Chua Soi Lek dan ia diikuti beberapa pemimpin MCA yang turut mempertikaikan pendekatan Normala itu.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan