SHAH ALAM — Beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Islam menggesa bukan Muslim agar tidak mencampuri hal-hal yang berkaitan dengan agama rasmi negara ini — gesaan yang merujuk kepada kenyataan presiden MCA dan Lee Kuan Yew baru-baru ini.
“Nampaknya bukan Muslim cuba mengajar Islam mengenai ajaran Islam,” kata Setiausaha Agung Persatuan Ulama Malaysia (PUM) Mohd Roslan Mohd Nor pada sidang media hari ini.
Mohd Roslan menyentuh isu bersalam yang dibangkitkan oleh Presiden MCA Datuk Seri Dr Chua Soi Lek yang mengkritik calon PAS-Pakatan Rakyat Normala Sudirman yang menurutnya enggan bersalam dengan kaum lelaki dan didakwa amalannya itu tidak boleh diterima oleh masyarakat Cina di Labis.
Barisan NGO itu yang diketuai oleh PUM dan Angkatan Belia Islam Malaysia (Abim) turut mengecam kenyataan Lee, bekas perdana menteri Singapura dalam buku terbarunya.
Lee dalam bukunya “Lee Kuan Yew: Hard Truths to Keep Singapore Going” menggesa umat Islam Singapura agar tidak terlalu berpegang kuat kepada ajaran Islam bagi membantu proses integrasi dan pembangunan negara.
“Kenyataan beliau kelihatan anti-Islam dan menggambarkan Islamofobia, yang tidak berasas dan tidak berasaskan pada fakta sejarah dan realiti semasa,” kata Setiausaha Agung Abim Mohamad Raimi Ab Rahim dalam kenyataan media.
“Umat Islam tidak memerlukan campur tangan bukan Muslim dalam soal-soal agama,” kata Mohd Roslan sambil berkata, umat Islam juga tidak mempersoalkan amalan-amalan agama lain.
Mohamad Raimi berkata meskipun kebanyakan Muslim di rantau ini bersikap moderat dan mengutamakan keamanan, Lee mengambil sikap melangkah ke belakang dengan mengutarakan komen-komen yang sedemikian, tindakan yang mencetuskan reaksi negatif di kalangan kumpulan Islam yang radikal.
Mohd Roslan berkata isu permintaan agar laungan azan diperlahankan dan larangan pekerja Islam menjual minuman keras adalah antara contoh bukan Islam mencampuri hal ehwal umat Islam.
Dalam laporan The Malaysian Insider pagi tadi, Perkasa juga menyokong desakan Mufti Perak Tan Sri Harussani Zakaria supaya presiden MCA agar memohon maaf kepada umat Islam kerana mempertikaikan tertib bersalam wanita Islam — calon PAS dalam kempen pilihan raya kecil kerusi DUN Tenang yang berlangsung sekarang.
“(Datuk Seri Dr) Chua Soi Lek diingatkan dalam kempen MCA menentang DAP agar berhati-hati apabila menyentuh hal atau perkara-perkara yang membabitkan Islam, apatah lagi yang berkaitan dengan hukum-hukum Islam yang jelas,” kata Setiausaha Agungnya Syed Hassan Syed Ali.
Katanya, menjadi tanda tanya kepada Perkasa sejak kebelakangan ini ada pihak yang kerap menyentuh sensitiviti orang Islam negara ini demi politik atau pun sengaja hendak menghina Islam.
“Apa pun alasannya, Perkasa beri amaran bahawa jangan sesekali mempolitikan Islam demi mendapatkan sokongan kaum bukan Islam kerana umat Islam dalam negara ini menerimanya sebagai satu penghinaan kepada kesucian Islam yang menjadi wajib kepada umat Islam menentang mereka,” kata beliau lagi.
Kata Syed Hassan, Perkasa akan mengambil tindakan lebih tegas selepas ini sekiranya penghinaan terhadap Islam terus berlaku.
Harussani menyifatkan tindakan Dr Chua, yang menyentuh soal wanita Islam bersalam sebagai satu pendirian menghina agama Islam, yang merupakan agama rasmi negara ini.
Justeru, Harussani menggesa Dr Chua supaya meminta maaf kepada orang Islam kerana mempertikaikan tertib bersalam seorang wanita Islam.
Semalam, Timbalan Pengerusi Barisan Nasional (BN) Tan Sri Muhyiddn Yassin menggesa MCA supaya tidak mengeksploitasikan pendirian calon PAS-Pakatan Rakyat Normala Sudirman yang tidak bersalam dengan lelaki.
Dalam pada itu Syed Hassan juga menyelar tindakan Lee.
“Nampaknya Kuan Yew senada dengan sesetengah pemimpin bukan Islam di negara ini. Kuan Yew sudah terlalu lama dalam politik yang pastinya dapat bezakan sesuatu isu itu sensitif atau tidak jika ingin disentuh.
“Perkasa tidak menganggap Kuan Yew seorang yang kurang faham bagaimana hendak menghormati sesuatu kaum yang berlainan agama dengannya. Perkasa menganggap Kuan Yew seorang tua yang sudah terlalu nyanyuk,” katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan