Selasa, 18 Januari 2011

Najib umum RM1.6 bilion majukan peneroka Felda

THE MALAYSIAN INSIDER

LABIS — Dilihat sebagai usaha meningkatkan sokongan peneroka menjelang pilihan raya umum ke-13, Datuk Seri Najib Razak hari ini mengumumkan peruntukan RM1.6 bilion bagi memajukan masyarakat Felda di seluruh negara untuk tahun 2011.

Felda menjadi kubu kuat Barisan Nasional (BN) khususnya parti terasnya Umno selama ini.

Malah pengumuman itu dibuat ketika BN membuat persiapan bagi menghadapi pilihan raya kecil kerusi Dewan Undangan Negeri Tenang hujung bulan ini.

Hari ini Najib, yang juga Pengerusi BN mengadakan lawatan ke Tenang.

Berucap pada majlis Pemimpin Bersama Peneroka di Felda Chemplak di sini, Perdana Menteri turut mengumumkan peruntukan RM8.5 juta daripada Felda untuk program pembangunan prasarana 500 buah lot yang akan diberi kepada generasi kedua peneroka Felda.

“Ini bukanlah sesuatu angan-angan yang direka kita ataupun janji yang tidak berpijak atas bumi yang nyata (seperti) yang mutakhir ini...mudah diluahkan oleh parti pembangkang.

“Ini adalah satu rekod pencapaian yang luar biasa yang telah diperjuangkan dan hasilnya dapat dilihat hari ini. Kejayaannya (Felda) mengubah keadaan hidup masyarakat yang bertuah kerana terpilih menjadi peneroka Felda dan bertuah kerana bernaung di bawah kerajaan kita, kerajaan Barisan Nasional ,” kata beliau dipetik Bernama.

Najib berkata peruntukan itu membuktikan Felda sebagai sebuah institusi yang kukuh daripada segi kewangan dan pentadbiran, sekali gus membuktikan dakwaan pembangkang kononnya Felda bankrap merupakan satu taktik kotor untuk mengelirukan peneroka dan rakyat.

Katanya Felda telah melalui proses transformasi yang agresif sehingga menjadi satu gagasan yang mampu mengubah landskap sosioekonomi negara, terutama bagi penduduk luar bandar, secara tuntas dan berkesan.

Najib berkata dengan pendapatan masyarakat Felda hari ini melebihi RM3,000, ia membuktikan mereka bukan lagi merupakan golongan yang terletak di bawah 40 peratus masyarakat berpendapatan rendah, sebaliknya kini sudah berstatus berpendapatan sederhana.

“Bila saya dapat gambaran bahawa pendapatan telah melebihi RM3,000 oleh setiap peneroka, apa signifikannya, pertama, bila kita buat Model Baru Ekonomi, kita kata mengikut taksiran pendapatan negara, mereka yang berpendapatan rendah terdiri daripada mereka yang berpendapatan RM2,300 sebulan, itu perkiraan purata pendapatan rakyat negara kita.

“Bila saya dapat tahu peneroka Felda di sini dan seluruh negara dapat pendapatan RM3,000 lebih sebulan bererti mereka tidak lagi tergolong dalam kategori 40 peratus rakyat yang mendapat pendapatan rendah. Felda hari ini telah secara rasminya menjadi golongan berpendapatan pertengahan dalam negara kita,” katanya.

Perdana Menteri berkata menjadi tanggungjawab semua untuk bukan sahaja mengenang masa lampau dan menghargai budi Felda tetapi terus menyuburkan “apa yang ditanam, dibaja dan disiram” agar dapat memberi seribu rahmat kepada masyarakat Felda dan negara secara keseluruhan.

Terdahulu, Najib yang tiba di Labis dengan helikopter pada 9.30 pagi, telah melawat Felda Chemplak Barat dan menyempurnakan majlis pelancaran Pusat Jalur Lebar Komuniti dan merasmikan gelanggang futsal di situ sebelum meluangkan masa bersarapan dengan warga peneroka.

13 ulasan:

Anak Sabah berkata...

Diharapkan peruntukan ini akan digunakan dengan cara yang sesuai.

tombolo berkata...

peruntukan yang diberikan kena digunakan dgn sebaiknya untuk kemajuan FELDA.

Unknown berkata...

Satu berita yang baik. Diharapkan Felda akan mengunakan peruntukan tersebut dengan sebaik-baiknya untuk memajukan lagi Felda.

Paquin berkata...

Inikan berita baik, jadi janganlah salah anggap pula.

Paquin berkata...

Semoga perancangan ini dapat dilaksanakan dengan sempurna:)

nickko berkata...

sebelum ini negara luar juga memuji dan mengiktiraf kejayaan Felda dalam meningkatkan sosioekonomi rakyat Malaysia terutamanya warga peneroka dinegara ini. ini membuktikan Felda berjaya mencapai matlamat mereka walaupun pembangkang tidak henti2 melaga2kan Felda dan kerajaan serta rakyat.

nickko berkata...

saya harap selepas ini Felda akan sentiasa memperbaiki setiap kelemahan mereka supaya tidak dijadikan bahan pertikaian oleh pihak tertentu. dan gunakan sebaik2nya perutukkan yang diberikan oleh kerajaan pusat.

Unknown berkata...

Semoga peruntukkan itu tidak disalah gunakan oleh pihak tertentu. Gunakanlah sebaik-baiknya untuk memajukan masyarakat FELDA.

Hosie Masie berkata...

Semoga FELDA akan maju kedepan lagi dengan peruntukkan yang telah diberikan ini.

zam berkata...

diharapkan peruntukan ini akan digunakan dengan sebaiknya dan dapat membantu memajukan warga felda.

elia berkata...

Peneroka felda harus bersyukur. Gunakan apa yang telah diperuntukkan dengan sebaiknya.

elia berkata...

Ternyata apa yang dikatakan oleh pembangkang bahawa kerajaan mengabaikan peneroka Felda adalah tidak benar. Pembangkang sengaja untuk memburuk2kan kerajaan namun perbuatan mereka itu tidak akan memperlihatkan bahawa mereka adalah malaikat.

nurfatihah berkata...

Saya harap peruntukan ini akan digunakan secara langsung kepada seluruh warga Felda, kerana melihat keadaan Felda yang masih daif walaupun telah banyak diberi bantuan. Hairan.