LABIS — Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin mahu jentera Barisan Nasional (BN) pada pilihan raya kecil Tenang menebus kembali majoriti lebih 5,000 yang pernah diperoleh BN pada pilihan raya umum 2004.
Beliau berkata piliha raya kecil Tenang merupakan medan ujian bagi BN Johor dan hanya dengan memenangi kerusi ini melebihi 5,000, ia mampu membuktikan Johor masih merupakan kubu kuat BN.
“Pada pilihan raya umum 2004, kita menang lebih 5,000 majoriti. Pada 2008, kita menang dengan lebih 2,000 majoriti. Soalnya, pada 2011 ini, macam mana pula?
“Kalau ikut tinjauan-tinjauan yang dibuat, semua kata kita boleh menang. Tetapi apa yang kita nak adalah tebus balik majoriti 2004, iaitu lebih 5,000. Kita mahu majoriti yang lebih besar dalam pilihan raya kecil kali ini,” katanya berucap sebelum menamakan calon BN pada pilihan raya kecil Tenang.
Mohd Azhar Ibrahim, 39, bekas penolong pegawai daerah kecil Rengit, Batu Pahat, telah dinamakan sebagai calon BN pada pilihan raya kecil Tenang 30 Januari ini. Proses penamaan calon pada Sabtu ini.
Sehubungan itu Muhyiddin menasihatkan semua jentera BN berkerja keras bagi meraih setiap undi 14,753 pengundi di DUN Tenang dan tidak memandang rendah calon lawan.
Ahad lepas, PAS telah menamakan Ketua Muslimat Labis, Normala Sudirman, 39, sebagai calon parti itu pada pilihan raya kecil berkenaan.
“Jangan pandang rendah calon sama ada dia lelaki atau perempuan. Semua sama sahaja. Yang penting kita mesti bekerja kuat. Bukan menang biasa tetapi kita mahu menang luar biasa,” katanya.
Bercakap kepada pemberita selepas pengumuman calon BN, Muhyiddin berkata Mohd Azhar mendapat sokongan daripada semua pemimpin Umno Labis walaupun beliau tidak memegang sebarang jawatan dalam Umno Bahagian Labis.
“Saya mohon pengundi-pengundi Tenang menerima beliau yang baru memasuki 39 tahun, banyak tenaga untuk bergerak ke semua kawasan,” katanya sambil menambah beliau mahu semua jentera BN bekerja rapat membantu beliau sebagai calon.
BN memenangi Dewan Undangan negeri (DUN) Tenang pada 2004 melalui Allahyarham Datuk Sulaiman Taha dengan mengalahkan calon PAS Mohd Saim Siram dengan majoriti 5,517 undi.
Pada pilihan raya umum 2008, beliau mengekalkan kerusi yang sama dengan mengalahkan Saim dengan 2,492 undi.
Pilihan raya kecil itu diadakan berikutan kematian Allahyarham Sulaiman, 59, pada 17 Disember lepas akibat jangkitan kuman dalam darah dan penyakit kencing manis.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan