Jumaat, 7 Januari 2011

Keselamatan Dalam Ngeri: Basmi Jenayah dengan Jenayah

Puspawati Rosman

Tahun lalu, negara kita telah dikejutkan dengan pendedahan beberapa kes mangsa dan saksi tembakan rambang polis sehingga menyebabkan kematian dan kecederaan. Antaranya ialah kes Aminurasyid remaja 16 tahun yang mati ditembak di kepala selepas memandu tanpa lesen, Norizan (gambar bawah) seorang ibu tunggal yang ditembak sebanyak lima kali dan dibelasah; Azlan seorang pemuda yang ditembak di bahagian dada selepas mengundurkan kereta ketika "road-block", Mohd Afham seorang pelajar kolej berusia 18 tahun yang ditembak sebanyak tiga kali selepas dikejar secara tiba-tiba oleh polis-polis berpakaian biasa dan lain-lain.

Kita juga telah mendengar banyak sisi cerita dan alasan yang diberikan oleh pihak polis dan juga orang ramai yang menyokong perbuatan pihak polis untuk menjustifikasikan perbuatan menembak mangsa sampai mati.

Ya, memang ada orang ramai yang menyokong perbuatan pihak polis tersebut. Mengapa itu terjadi? Ia adalah kerana setiap kali selepas kejadian, pihak polis akan mengklasifikasikan mangsa-mangsa kejadian sebagai "penjenayah". Antara jenayah yang paling popular dan acapkali digunakan oleh pihak polis ialah rompak. Oh ya, tidak ketinggalan juga "jenayah" mengundurkan kereta dan oleh itu mangsa memang layak menerima tembakan.

Dan jangan lupa dengan aksesori penting para penjenayah ini, iaitu parang atau pisau panjang yang selalunya diletakkan di dalam bonet kereta dan bawah tempat duduk motosikal. Nampaknya parang ialah aksesori yang paling bergaya sepanjang tahun 2010 kerana ia dibawa ke mana-mana oleh remaja belasan tahun, ibu-ibu tunggal dan juga pelajar kolej. Yang paling mengkagumkan, pihak polis kita mempunyai mata "super" atau mungkin juga alat teropong x-ray yang boleh mengesan kedudukan dan kewujudan parang dan pisau ini walaupun ia dikatakan disimpan di bahagian dalam bonet kereta atau motosikal yang tertutup.

Dengan cerita-cerita lagak filem aksi Hollywood ini, patutlah sebilangan orang ramai ini percaya betapa jahatnya mangsa-mangsa tembakan polis ini dan mereka wajib dihapuskan demi keamanan negara.

Persoalannya, adakah anda yakin bahawa negara ini akan aman damai jika pihak polis diberikan kuasa untuk melepaskan tembakan sesukahati tanpa mengikut prosedur yang sepatutnya? Baik, tak usahlah kita mendebatkan perihal prosedur untuk melepaskan tembakan yang kita sendiri pun tak tahu hujung pangkalnya, kerana dokumen berkenaan prosedur tersebut telah diklasifikasikan sebagai Rahsia Rasmi. Mari kita bercakap tentang hak:

Tiada seorang pun boleh diambil nyawanya atau dilucutkan kebebasan dirinya kecuali mengikut undang-undang.

Semua orang dianggap tidak bersalah sehingga dibuktikan sebaliknya.

Dan, jika anda berasa bahawa pihak polis memang patut melepaskan tembakan untuk mempertahankan diri mereka, mari kita fikir secara logik: Parang lawan Pistol, siapa yang menang? Terlalu bodohkah para penjenayah itu untuk menggunakan parang dan berlawan dengan pistol? Dan, terlalu lemahkah anggota polis kita sehingga tidak mampu melawan remaja berusia 16 tahun tanpa menggunakan pistol?

Seperkara lagi, lepas menembak mati penjenayah yang didakwa, adakah pihak polis akan terus menutup fail tanpa membuat apa-apa siasatan susulan? Adakah mereka juga telah menjustifikasikan perbuatan menembak anggota-anggota mereka ini sebagai peperangan terhadap orang jahat dan terus mengangkat mereka sebagai wira? Adakah mereka lupa bahawa samada seseorang itu masih hidup ataupun telah meninggal dunia, beliau masih dianggap tidak bersalah sehingga dibuktikan sebaliknya?

Jika anda berasa bahawa sudah terlewat untuk mempertahankan hak orang yang sudah mati, pernahkah anda terfikir apakah perasaan seorang ibu atau bapa yang diberitahu bahawa anaknya yang berusia belasan tahun ditembak mati oleh polis kerana melakukan jenayah yang belum dibuktikan?

Pada hari Sabtu bersamaan dengan 13 November 2010 yang lalu, tiga orang pemuda iaitu Mohd Shamil Hafiz Shafie, 15, Mohd Khairul Nizam Tuah, 20, dan Mohd Hanafi Omar, 22 telah dibunuh dengan tembakan oleh pihak polis di Glenmarie, Selangor. Walaupun ketiga-tiga pemuda ini tidak mempunyai rekod jenayah, Pemangku Ketua Polis Selangor, A.Thaiveegan telah mendakwa bahawa ketiga-tiga mereka ialah "seasoned criminals" dan beraksesorikan parang. Sehingga kini, pihak polis masih belum melengkapkan siasatan terhadap kejadian tembakan maut tersebut.

Shamil Hafiz ditembak mati seminggu sebelum hari lahirnya yang ke-16. Nampaknya, walaupun statistik mengejut menunjukkan pertambahan bilangan kematian akibat tembakan polis dikeluarkan pada November tahun lalu, dan dengan perlantikan Ketua Polis Negara yang baru, masih terdapat sebilangan pihak polis yang tidak mengambil iktibar dan menjalankan tugas mengikut undang-undang yang sepatutnya. Tidakkah pihak polis berasa bahawa tindakan mereka ini akan memakan diri sendiri dan menyebabkan orang ramai tidak percaya dan hilang hormat terhadap mereka?

Disebabkan persoalan-persoalan yang timbul sebeginilah, kita semua harus berganding bahu untuk mendesak pihak polis supaya mempercepatkan proses siasatan yang mengambil tindakan yang sepatutnya terhadap pihak-pihak yang terbabit. Sila pejamkan mata sejenak dan fikirkan apakah perasaan anda sekiranya kejadian-kejadian yang disebutkan di atas berlaku kepada ahli keluarga anda.

Pada pukul 10 pagi 8 Januari 2011 ini, kumpulan Peguam untuk Kebebasan (Lawyers for Liberty) akan menyerahkan satu memorandum protes kepada Ketua Polis Negara di Bukit Aman, Kuala Lumpur bagi mendesak pihak polis mempercepatkan proses siasatan terhadap kes tembakan di Glenmarie dan seterusnya mendedahkan kepada umum hasil siasatan tersebut demi keadilan kepada para mangsa dan juga ahli keluarga mereka. Jika benar kejadian adalah seperti yang didakwa, maka kita secara adil telah memberikan penutup kepada tanda tanya setiap ahli keluarga. Tetapi jika tidak, maka wajiblah pihak polis untuk meminta maaf secara umum kepada semua ahli keluarga dan rakyat Malaysia dan seterusnya mengambil tindakan terhadap pihak-pihak yang bertanggungjawab.

Kami, kumpulan Peguam untuk Kebebasan (Lawyers for Liberty) ingin mengajak anda semua bersama-sama dengan kami pada acara yang singkat tetapi bermakna tersebut. Ini penting untuk menunjukkan kepada pihak yang bertanggungjawab bahawa rakyat Malaysia memandang serius kejadian seumpama ini dan berharap supaya ia tidak berulang lagi.

Tunjukkan sokongan anda untuk negara yang lebih aman dan selamat.

*Puspawati Rosman ialah seorang peguam, ahli Lawyers for Liberty (Peguam untuk Kebebasan) dan ahli sekretariat SUARAM (Suara Rakyat Malaysia).

Tiada ulasan: