Khamis, 6 Januari 2011

Kes Teoh: Kabinet dijangka umum suruhanjaya siasatan minggu depan



Ibu mendiang Teoh Beng Hock, Teng Shuw Hor dan adik mendiang Teoh Lee Lan (dua, kiri) berjalan keluar dari mahkamah selepas hadir bagi mendengar keputusan inkues kematian Teoh, di Mahkamah Shah Alam di sini hari ini. — Foto Bernama

KUALA LUMPUR — Datuk Seri Najib Razak dijangka akan mengumumkan pembentukan sebuah suruhanjaya siasatan diraja berhubung kematian Teoh Beng Hock selepas inkues lebih setahun berakhir dengan keputusan terbuka.

The Malaysian Insider difahamkan perdana menteri dan beberapa anggota Kabinet penting, yang berkaitan, telah mengadakan pertemuan dengan Peguam Negara Tan Sri Abdul Gani Patail selepas koroner inkues itu memberikan keputusan terbuka — tidak diketahui punca yang membawa kematian bekas setiausaha politik berkenaan.

“Gani Patail juga hadir dan perdana menteri dijangka membuat pengumuman mengenai keputusan ini minggu depan,” kata satu sumber kepada The Malaysian Insider hari ini.

Semalam, keluarga mendiang Teoh berkata akan memfailkan permohonan bagi menyemak semula keputusan inkues yang mendapati kematian mangsa bukan disebabkan bunuh diri, homisid atau penglibatan pihak ketiga.

Peguam Gobind Singh Deo berkata ia akan dilakukan dalam masa terdekat selepas mengkaji keseluruhan keputusan Koroner Azmil Muntapha Abas semalam.

“Kami berpendapat keputusan ini tidak dapat diterima. Walaupun tiada elemen jenayah, tetapi mahkamah bersetuju bahawa wujudnya kecederaan di bahagian leher mangsa sebelum mendiang jatuh dari bangunan itu.

“Persoalan tentang bagaimana Teoh mendapat kecederaan itu dan menemui ajalnya, masih menjadi tanda tanya dan mengganggu fikiran keluarganya. Kami perlu mendapat jawapan daripada pihak SPRM (Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia) kerana Teoh tidak cedera ketika beliau ke pejabat SPRM, dan mendiang tidak pernah meninggalkan pejabat SPRM,” katanya semalam.

Azmil yang membuat keputusan itu selepas mendengar keterangan 37 saksi termasuk 12 pakar dalam inkues kematian Teoh, berkata ia adalah satu keputusan terbuka.

Penasihat DAP Lim Kit Siang berkata suruhanjaya diraja perlu ditubuhkan bagi membolehkan siasatan terperinci dijalankan berhubung kematian Teoh.

Tiada ulasan: