LABIS: Kecanggihan serta keberkesanan teknologi moden dipercayai mampu mengubah senario politik di negara ini. Justeru, menyedari hakikat tersebut, mendorong Pakatan Rakyat memaksimumkan penggunaan teknologi maklumat (IT) ini pada Pilihan Raya Kecil N.05 Tenang, yang akan berlangsung pada 30 Januari depan.
Demikian dinyatakan Pengarah Operasi Pilihan Raya Kecil N.05 Tenang, Dzulkefly Ahmad, di sini, 8 Januari lalu.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan Bengkel IT anjuran Jabatan IT PAS Pusat dengan kerjasama Harakahdaily. Hadir sama Timbalannya, Mazlan Aliman dan Ketua Pengarang Harakahdaily, Zulkifli Sulong serta lebih 20 peserta yang mengikuti bengkel sehari ini.
Menurut beliau, kecanggihan teknologi maklumat ini telah terbukti sangat berkesan apabila ianya dimanfaatkan dengan sebaik mungkin malah ianya juga akan menjadi senjata yang cukup berkesan serta menggerunkan musuh.
Sebagai contoh kata beliau, baru-baru ini seorang penjawat awam kumpulan DG 54 yang memangku Jawatan Utama Sektor Awam (Jusa) Gred C, telah dikesan berkempen untuk memenangkan BN, perbuatan ini telah melanggar Peraturan 21 yang melarang Pegawai Kumpulan Pengurusan Tertinggi dan Kumpulan Pengurusan dan Profesional, terbabit dengan politik.
“Ucapan beliau ini telah dirakam dan disiarkan di dalam Youtube. Hari ini bukan sahaja di Malaysia malah seluruh dunia dapat melihat dan menjadi saksi penyalahgunaan kuasa yang dilakukan secara terang-terangan oleh penjawat awam ini.
“Ini adalah contoh yang boleh dijadikan bukti betapa hebatnya kecanggihan IT ini, kita jangan sekali-kali melepaskan peluang ini sebaliknya kita mesti menjadikan teknologi ini sebagai salah satu elemen penting untuk membantu memenangi pilihan raya ini.
“Tidak mustahil Pakatan Rakyat akan membuat kejutan pada pilihan raya kecil ini namun ianya bukan sesuatu yang mudah, apa yang penting setiap kita perlu fokus dalam setiap gerak kerja di samping komitmen yang tinggi amat diperlukan,” tegas beliau.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan