Jumaat, 21 Januari 2011

Calon tak terpilih ikrar sokongan kepada BN

Abdul Rahim Sabri

Walaupun tidak terpilih mewakili BN pada pilihan raya kecil DUN Tenang, namun ketiga-tiga calon yang disebut-sebut mewakili parti itu berjanji akan memberi sokongan padu dan tidak berbelah bagi kepada calon yang terpilih - Mohd Azahar Ibrahim.

NONEMalah, mereka juga berikrar - penyokong ketiga-tiga pemimpin bahagian itu akan akur dan setia dengan keputusan pucuk pimpinan parti bagi memastikan kemenangan kepada Mohd Azahar (kanan, bersongkok) pada pengundian 30 Januari nanti.

Pengakuan itu, sekaligus menolak tanggapan atau dakwaan bahawa ketiga-tiga pemimpin berkenaan - pemangku ketua bahagian Labis Rusdin Mahamud, naib ketua bahagian Hashim Daud dan ketua Wanita Haslinda Salleh - tidak berpuas hati dengan keputusan pucuk pimpinan parti.

Bercakap kepada Malaysiakini pagi ini, Rusdin berkata rasa tidak berpuas hati itu “tidak timbul” khususnya bagi penyokongnya.

Malah, katanya ketika beliau memegang jawatan ketua pemuda bahagian itu, dia sendiri bertanggungjawab melantik Mohd Azahar sebagai bendahari.

"Kita memberi sokongan 100 peratus. Kenapa perlu saya (rasa) tidak berpuas hati? Saya mempunyai hubungan rapat dengan keluarganya, saya tidak ada masalah tentang perkara itu," katanya.

Menurut Rusdin, keputusan itu dibuat dengan mengambil sikap mengutamakan masyarakat malah istilah merajuk tidak timbul kerana tidak menjadi calon bukan sikap sebagai seorang pemimpin politik yang berpengalaman.

"Saya sudah faham dengan politik, sebab saya mula daripada bawah, bermula dari ketua cawangan sehingga menjadi pemangku ketua bahagian.

"Saya tahu sepak terajang politik (dan) situasi politik. Saya akur dengan keputusan pucuk pimpinan parti," katanya.

Bagi naib ketua bahagian pula, Hashim Daud, tujuan utama beliau berkecimpung dalam dunia politik "bukan untuk kejar apa-apa".

"Kita bekerja sebagai satu pasukan. Saya tidak mempunyai penyokong yang kuat. Kalau ada, sudah tentu saya jadi ketua bahagian.

"Saya mahu banyak kawan dan nak kurangkan musuh. Saya nak tolong kampung, (oleh itu) tidak semestinya kena jadi macam tu (calon),” katanya ketika dihubungi pagi ini.

Bagi ketua wanita Labis, Haslinda Salleh pula, beliau bersikap terbuka dengan keputusan pucuk pimpinan parti dan menyifatkan setiap rezeki itu ditentukan oleh Allah SWT.

“Saya tidak kecewa (kerana tidak terpilih). Pada saya, kesinambungan (kepimpinan parti) itu lebih penting, individu itu tidak penting. Kesinambungan parti itu penting demi kesejahteraan negara,” katanya ketika ditemui malam semalam

“Kita selamanya memang setia dengan parti, saya percaya pergerakan Wanita matang dalam membuat keputusan (dan) sebarang tindakan,” katanya.

Ketiga-tiga pemimpin itu turut menafikan berlakunya pepecahan sokongan susulan mereka tidak terpilih menjadi calon. Sebaliknya ketiga-tiga pemimpin itu hadir pada hari pengumuman calon kelmarin dan menyambut Mohd Azahar yang diisyhtihar sebagai calon.

“Kita berkerja untuk mendapatkan kedudukan atau bekerja untuk masyarakat? Adakah sokongan itu kerana tubuh badan saya atau kerana kepimpinan saya,” soal Rusdin dengan nada yang tinggi.

“Saya masih boleh rileks. Malah saya sendiri yang menyusun program untuk beliau. Kita kena hormati keputusan pucuk pimpinan parti. Kalau kita tidak merestui, itu bukan politik namanya,” tegas Rusdin.

Menurut Rusdin, Mohd Azahar adalah seorang yang merendah diri, disegani serta mempunyai ramai kawan daripada pelbagai bangsa yang akan berkerja untuk memenangkan beliau.

Bagi Haslinda pula, beliau tidak nampak perpecahan berlaku kerana pergerakan itu “memang mengenali” Mohd Azahar walaupun beliau tidak menetap di Labis.

Ditanya mengenai kebimbangan - Mohd Azahar yang tidak mempunyai jawatan akan memberi kesan penurunan pengundian kepadanya, - ketiga-tiga pemimpin itu menafikan perkara berkenaan.

Malah menurut mereka, berdasarkan pengalaman kerja dan kelulusan calon BN itu, akan membuatkan beliau lebih disegani dan boleh bersaing.

“Saya berkata (kepada penyokong) kalau begitu (keadaannya), apa salahnya kita beri peluang. Saya ajak penyokong, sama-sama menyokong beliau (Mohd Azahar).

“Kita masih nak berpuak-puak atau hendakkan kemenangan. Kalau nak kemenangan, kita kena bekerjasama.

“Kalau nak bekerjasama, kita kena yakin dengan pilihan pucuk pimpinan parti itu adalah tepat dan itu yang menjadi amalan kita,” tegas Rusdin.

Hashim yang juga bapa saudara Mohd Azhar pula berkata, anak saudaranya itu sebelum ini pernah bertanding untuk kumpulan G7 ke persidangan Umno tahunan, dan beliau memperolehi kemenangan besar dalam pemilihan tersebut.

Menurutnya, “tidak timbul perkara yang digembar gemburkan bahawa “keluarganya menguasai” untuk jawatan tertentu di kawasan Labis itu.

“Setengah daripada Labis ini adalah saudara maranya, maka ia akan memberi kelebihan untuk beliau memenangi kerusi tersebut,” katanya.

Tiada ulasan: