Sabtu, 1 Januari 2011

3 NAIB PRESIDEN UMNO Vs 3 SAMI BUDDHA

Oleh: MOHD YATIM SUHAILI

FILEM bisu Tiga Sami Buddha (Chinese: 三个和尚, San ge he shang) yang masyhur selepas Revolusi Kebudayaan di China menzahirkan pepatah China purba yang menyebut; “Seorang sami boleh membawa dua baldi air, sami kedua akan membantu tetapi jika ditambah seorang lagi sami, tidak ada yang mahu mengangkat air.”

Filem Epik Tiga Sami Buddha berlaku di sebuah Kuil kecil di atas bukit yang yang dihuni oleh ‘Sami Kecil’ yang rutin kerjanya setiap hari mengangkat air, mengumpul benang ulat sutera, menambah air ke dalam botol di atas meja sembahyang dan menjaga agar tikus tidak mencuri makanan pada waktu malam. Kerjanya lancar dan selesa.

Tidak lama kemudian, datang seorang ‘Sami Tinggi’ dan meminum setengah jar air di meja sembahyang dan ‘Sami Kecil’ meminta Sami Tinggi mengambil air, namun Sami Tinggi meminta Sami Kecil membantunya mengambil air. Mereka hanya dapat membawa satu baldi sahaja yang dipikul di tengah-tengah kayu pemikul yang diletakkan ke atas bahu mereka; sekurangnya masih ada air untuk diminum.

Kemudian datang pula seorang ‘Sami Gemuk’ dan kehausan dan meminta air untuk diminum tetapi tiada air dalam jar dan kedua-dua sami tadi meminta Sami Gemuk mengambil sendiri air. Sami Gemuk mengambil satu baldi air dan meminumnya sehingga habis.

Sejak daripada itu, tiada seorangpun di antara mereka yang mengambil air dan kuil berkenaan tiada air untuk diminum kerana mereka sibuk dengan kerja masing-masing dan tidak ada siapa yang mahu mengisi jar berkenaan.

Suatu malam, seekor tikus datang untuk mencuri makanan tetapi kesemua mereka berpura-pura tidak melihat sehinggalah tikus berkenaan terlanggar lilin sehingga menyebabkan kebakaran. Ketiga-tiga sami berkenaan bergegas untuk memadamkan kebakaran secara bersepakat dan sejak daripada itu, kuil berkenaan tidak lagi kekurangan air.

Kini Cerita Epik mungkin akan benar-benar berlaku dalam UMNO setelah ketiga-tiga Datuk ‘Seri’ Naib Presiden UMNO; Datuk Zahid Hamidi, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal dan Datuk Seri Hishamudin Tun Hussien tidak lagi ‘berseri’ dalam UMNO setelah jawatan mereka sebagai Pengerusi Perhubungan UMNO Pulau Pinang, Kedah dan Trengganu ditamatkan pada 27 Disember 2010.

Perlantikan mereka sebagai Pengerusi Perhubungan UMNO hanya sekadar meneruskan Formula ‘Merry Go Round’ yang diasaskan Tun Dr Mahathir yang menggilirkan jawatan Ketua Menteri Sabah kepada tiga suku kaum utama di Sabah; cuba diteruskan Presiden UMNO dengan melantik ‘Tiga Datuk Seri’ mewakili tiga negeri yang bermasalah ketika itu kerana jatuh ke tangan pembangkang dan berlaku perebutan kuasa selepas pilihanraya umum 2008.

Formula Najib ini tidak dapat diterima oleh pemimpin UMNO dan Ahli UMNO di ketiga-tiga negeri berkenaan sehingga memaksa beliau mengubah pada saat akhir sebagai persediaan untuk merampas kembali dua negeri berkenaan dan membaikpulih UMNO Trengganu agar tidak jatuh kembali ke tangan Pakatan Rakyat.

Ketiga-tiga Datuk Seri berkenaan mengikut resam ‘Tiga Sami’ sehingga terlalu mementingkan diri sendiri sedangkan jika mereka bersatu, mereka boleh mentadbir UMNO Kedah, Pulau Pinang dan Trengganu dengan baik dan tidak kedengaran sosek-sosek di kalangan pemimpin dan ahli UMNO negeri-negeri berkenaan. Mungkinkah mereka bersatu kembali setelah dibuang daripada kedudukan terhormat berkenaan sebagaimana ‘Tiga Sami’ yang berjaya memadam kebakaran kuil?

Ke manakah mereka, terutama Shafie akan pergi selepas ini? Apakah Presiden UMNO, Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak berani mengambil risiko mengembalikan Shafie ke Sabah sebagai Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Sabah untuk memimpin pilihanraya umum akan datang atau mengekalkan Datuk Seri Musa Aman sebagai Ketua Perhubungan UMNO Sabah dan Ketua Menteri Sabah?

Dengan pengukuhan dana pembangunan sejumlah RM1 juta bagi setiap ADUN pada 2011, siapakah yang berani menderhaka kepada Musa Aman dan mengalihkan sokongan kepada ‘Sami Pendek’ (Shafie)?

Walaupun konspirasi demi konspirasi dilancarkan Shafie dan kuncu-kuncunya, namun tidak berkesan untuk mencantas Musa Aman dari persada politik Sabah kerana ketokohannya telah membius minda Najib bahawa tidak ada tokoh yang dapat menggantikan Musa Aman untuk memimpin BN menghadapi Pakatan Rakyat di Sabah bagi memastikan 24 kerusi parlimen kekal di dalam genggaman BN dan merampas satu kerusi daripada Pakatan Rakyat (DAP).

Penghantaran anak saudara Shafie ke Hong Kong untuk misi khas Pakatan Rakyat masih gagal menjatuhkan Musa Aman, sebaliknya semakin perkasa menambat hati Najib dengan pelancaran ‘Susu 1Malaysia’ yang diterajui Datuk Nasir Yeo Guan Hock, sekaligus mengikat kontrak Musa untuk satu tempoh yang panjang.

Tidak ada siapa yang dapat menduga politik era Musa Aman dan Najib kerana mereka bagaikan aur dengan tebing tanpa mempedulikan banjir dan arus yang bakal menghancurkan mereka; kerana mereka sepakat menjaga ‘Fixed Deposit’ untuk memastikan 25 kerusi parlimen di Sabah meneruskan kontrak Najib sebagai Perdana Menteri dan 325 perwakilan UMNO Sabah untuk kekal sebagai Presiden UMNO!.

Tiada ulasan: