Dakwaan Perdana Menteri Najib Razak yang sewenangnya menyelar pemimpin Pakatan Rakyat sebagai "sangat merbahaya dan anti nasional" sewaktu konvensyen Barisan Nasional (BN) baru-baru ini adalah suatu tindakan yang biadap dan tidak mencerminkan ketokohannya sebagai seorang Perdana Menteri Malaysia.
Hasutan dan fitnah yang dilemparkan sama sekali tidak berasas kerana telah dibuktikan dalam Deklarasi Pakatan Rakyat bahawa kerajaan Pakatan Rakyat akan sentiasa mendukung prinsip kenegaraan dan patriotisma sebagai elemen utama perjuangan. Sebagai Pentadbir No.1 negara, PM seharusnya lebih memfokuskan kepada kerjanya, namun sebaliknya, PM sendiri asyik bermain retorik dan fitnah, moga dengan harapan agar rakyat akan lupa pada segala perlakuan sumbang dan penindasan UMNO-BN selama ini.
PM seharusnya menasihati Timbalan Perdana Menteri Muhyiddin Yassin dahulu agar beliau dapat bermuhasabah diri atau melakukan introspeksi terhadap kelemahan diri, seperti yang disarankannya sendiri dalam ucapannya di Konvensyen tersebut. Tindakan sewajarnya harus dikenakan terhadap Muhyiddin Yassin yang jelas seorang anti-nasional kerana sering kali membuat kenyataan berunsur rasis dan menimbulkan amarah dan kebencian rakyat.
Siri fitnah PM ini adalah suatu strategi desperado PM bagi mengalih tumpuan dari kemarahan rakyat akibat "pakej kenaikan harga 4 dalam 1 PM Najib Razak" (Air, Gula, Ron 97, Ron 95) dan isu dalamannya sendiri, seperti konspirasi penangguhan pemilihan UMNO dan rombakan Kabinet yang akan berlaku tidak lama lagi. Penghinaan kepada kapasiti rakyat sebagai pendukung kerajaan apabila PM sendiri tidak menghormati kehendak dan pandangan rakyat, sebaliknya hanya membuat keputusan dengan mementingkan dan menjaga keuntungan kelompok kronisme semata-mata.
Ingatan PM kepada empat "penyakit" yang sering melanda parti yang sudah lama berkuasa, iaitu khayalan, kelupaan, kejumudan dan keangkuhan adalah suatu pendedahan dan pengakuan kepada kebobrokan dan kepincangan UMNO-BN selama ini.
Andai benar ini petanda awal kepada tarikh Pilihanraya Umum Ke-13, pemimpin Pakatan Rakyat akan bersedia untuk menghadapinya, kerana nampaknya PM Najib sendiri sudah sedar bahawa rakyat semakin membenci UMNO-BN dan keyakinan pada pentadbiran kerajaan Pakatan Rakyat terus meningkat. Lebih lama UMNO-BN di Putrajaya, lebih banyak rasuah, kronisme dan salah guna akan berlaku.
*Kenyataan media oleh Zuraida Kamaruddin (gambar kiri) selaku ahli parlimen Ampang dan Ketua Wanita KeADILan.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan