KUALA LUMPUR – Mufti Perlis Dr Juanda Jaya berkata, umat Islam negara ini tidak digalak berkahwin dengan penganut Syiah kerana bimbang akan wujud konflik dalam perkahwinan terutamanya dalam aspek hak penjagaan anak sekiranya pasangan bercerai.
Beliau berkata, Jawatankuasa Fatwa Perlis telah mengambil keputusan supaya peringatan diberikan kepada orang Islam khususnya rakyat negeri itu berkaitan Hukum Pernikahan Ahli Sunah Waljamaah dengan penganut Syiah.
Jawatankuasa itu telah membuat keputusan itu dalam satu persidangan pada November lalu.
“Jawatankuasa ini sebulat suara bersetuju dengan keputusan orang Islam tidak digalakkan mengahwini penganut ajaran Syiah.
“Keputusan jawatankuasa ini telah diangkat kepada Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) dan telah diperakukan dalam mesyuarat yang bersidang pada 7 Disember lalu,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Ketika dihubungi The Malaysian Insider, Juanda (gambar) menjelaskan, larangan itu dibuat kerana bimbang orang Islam di negara ini gagal mendapatkan hak penjagaan anak sekiranya berpisah dengan pasangan yang menganut ajaran Syiah.
“Kita tidak larang cuma mahu memberikan peringatan orang Islam supaya tidak berkahwin dengan pasangan yang menganut ajaran Syiah.
“Kita bimbang sekirannya berkahwin dengan pasangan ajaran Syiah, sebagai contoh daripada Sudan atau Pakistan, sekiranya bercerai sukar untuk kita mendapatkan hak jagaan anak apabila pasangan pulang semula ke negara asal.
“Ini yang kita bimbang, sebab itu kita mahu berikan peringatan terutamanya kepada pelajar supaya perkara ini tidak berlaku,” katanya.
Beliau berkata, keterbukaan kerajaan Malaysia membenarkan ramai penganut ajaran Syiah ke negara ini boleh mengundang kepada masalah tersebut.
“Ramai orang Islam tidak tahu mengenai ajaran Syiah ini kerana tidak faham apa pegangan mereka, masalah akan timbul selepas mereka berkahwin.
“Malah kita juga dapati di negara-negara Islam yang ada Sunah Waljamaah dan penganut Syiah ini tidak berkahwin antara satu sama lain.
“Jadi keputusan yang kita buat ini lebih kepada nasihat awal untuk orang Islam di negara itu perlu tahu apa pegangan pasangan masing-masing sebelum berkahwin,” katanya.
Juanda berkata, kerajaan Malaysia tidak mengiktiraf ajaran Syiah dan Islam yang diamalkan di negara ini berdasarkan Ahli Sunah Waljamaah.
“Di Malaysia kita tidak ada ajaran Syiah, kita ikut Ahli Sunah Waljamaah. Tapi, bagaimanpun perkara ini perlu difahami oleh mana-mana individu yang berhasrat untuk berkahwin dengan penganut Syiah ini.
“Setakat ini tidak ada kes lagi berlaku, cuma kita bimbang. Sebab itu, kita mahu berikan peringatan ini,” kata beliau yang juga Pengerusi Jawatankuasa Fatwa Perlis.
Majoriti negara Islam di dunia mengamalkan ajaran mengikut Ahli Sunah Waljamaah manakala bagi ajaran Syiah hanya melibatkan beberapa buah negara Islam termasuk Iran, Iraq, Yaman, Jordan, Arab Saudi, Kuwait, Qatar, Sudan, Pakistan dan India.
Namun negara yang mempunyai penganut ajaran Syiah turut mengamalkan ajaran Ahli Sunah Waljamaah.
Istilah Ahli Sunah Waljamaah tidak asing lagi bagi masyarakat Islam di Malaysia, namun istilah ini di kalangan ulama, ada yang menyempitkan dan ada yang meluaskan.
Pengarang al-Farqu baina al-Firaq yang beraliran Sunah, Abdul Qahir Tahir al-Baghdadi menjelaskan bahawa ada lapan macam golongan Ahli Sunah Waljamaah dan ada 15 prinsip pokok yang wajib dipenuhi.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan