KUALA LUMPUR – Islam menolak fahaman pluralisme agama yang mendakwa kesemua agama adalah sama baik dan sama benar, kata Ketua Pengarah Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM) Datuk Nik Mustapha Nik Hassan.
“Kedua, hanya ada satu agama yang memiliki wahyu yang lengkap dan sempurna iaitu Islam,” kata ketua agensi pemikir Islam milik kerajaan pusat ini, mengulas mengenai isu fahaman pluralisme agama yang dibangkitkan semalam yang turut digunakan untuk menyerang Ketua Umum Pakatan Rakyat Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Bagaimanapun menurut beliau, isu-isu antara penganut agama perlu diselesaikan dengan seadil-adilnya, secara saksama dan dalam semangat saling hormat-menghormati terhadap lunas-lunas agama yang universal sifatnya.
Walaupun demikian menurut beliau, Islam mengiktiraf bahawa masih terdapat hakikat, kebenaran, kebaikan dan keindahan etika yang terkandung dalam agama-agama yang selainnya.
“Islam juga sentiasa mengalu-alukan sikap saksama, jujur dan berintegriti dari manapun datangnya. Kebaikan dan keindahan etika ini seharusnya digembleng untuk menjulang masyarakat Malaysia ke arah yang lebih baik,” kata beliau dalam satu kenyataan hari ini mengulas laporan akhbar hari ini.
Nik Mustapha berkata walaupun berlainan agama, perpaduan rakyat perlu dipupuk secara menggalakkan keunikan tradisi agama masing-masing sambil menggalakkan sikap saling bermuhibah, berbelas kasihan dan berkasih sayang sebagai saudara sesama manusia.
“Penganut pelbagai agama juga harus digalakkan berlumba-lumba dalam melaksanakan kebaikan, contohnya dalam bentuk membela golongan fakir miskin dan golongan yang memerlukan,” katanya.
IKIM mengeluarkan kenyataan itu ekoran pandangan tokoh cendekiawan yang menyifatkan golongan yang mempertikaikan kedudukan Islam dan orang Melayu seperti mana yang diperuntukkan dalam Perlembagaan Persekutuan merupakan mereka yang berfahaman pluralisme ala John Hick.
Tokoh cendekiawan Islam, Dr. Muhammad ‘Uthman El-Muhammady mahu golongan tersebut ditentang kerana fahaman yang mereka anuti itu jelas berlawanan dengan ajaran Islam yang dibawa oleh Rasulullah s.a.w.
Malah beliau berkata, mereka yang memperjuangkan fahaman itu tidak ubah seperti membawa satu agama baru yang akhirnya boleh menyebabkan seseorang Islam itu menjadi murtad.
Dalam pada itu, Pensyarah Kulliyah Undang-Undang Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Dr Yusri Mohamad berkata Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim merupakan salah seorang ahli politik beragama Islam di negara ini yang didapati sering membawa mesej fahaman pluralisme agama sama ada dalam bentuk tindakan mahu pun dalam bentuk ucapan.
Yusri berkata, ia berdasarkan kepada satu siri ucapannya di London pada 18 Mac 2010 yang bertajuk Religion and Pluralisme in a Divided World apabila Anwar dengan jelas menyokong fahaman tersebut.
Beliau berkata, seperkara lagi ialah kecenderungan Institut Kajian Dasar (IKD) terhadap perjuangan Jaringan Islam Liberal yang diterajui oleh Ulil Absar Abdullah iaitu seorang pejuang fahaman pluralisme di Indonesia.
Yusri yang juga bekas Presiden Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) berkata antara judul buku yang dikaitkan dengan fahaman itu dan dihasilkan oleh pusat berkenaan ialah Islam dan Pluralisme, Agama dan Kebebasan Berfikir, Hukum Barat Pun Islam dan Kahwin Campur Antara Islam dan Bukan Islam.
“Inilah yang berlaku hasil daripada hubungan antara IKD dan Jaringan Islam Liberal di Indonesia. Mereka juga dilihat begitu menyanjung Ulil Absar Abdullah.
“Bagi saya penerbitan buku-buku ini amat berbahaya kepada umat Islam di negara ini kerana isu berkaitan dengan fahaman pluralisme agama amat berkaitan dengan soal akidah,” katanya pada wacana Membanteras Gerakan Pluralisme Agama dan Pemurtadan Ummah di Masjid Wilayah Persekutuan hari ini.
Pensyarah Jabatan Usuluddin dan Falsafah, Fakulti Pengajian Islam, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Nur Farhana Abd. Rahman pula berkata Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) memberi definisi secara jelas mengenai perayaan pelbagai kaum di negara ini supaya umat Islam tidak terjebak dengan penularan fahaman pluralisme.
Langkah ini penting supaya umat Islam lebih jelas sebelum menyertai mana-mana perayaan kaum lain kerana dibimbangi akan melanggar batasan agama disebabkan untuk mengamalkan kehidupan bertoleransi.
“Misalnya Jakim perlu jelaskan tentang meraikan Pesta Ponggal dengan Deepavali dan antara Pesta Tanglung dengan Pesta Kuih Bulan dari sudut agama dan juga budaya,” katanya dalam kertas kerja bertajuk Pluralisme Agama: Fahaman Pluralisme Agama dan Percanggahannya Dengan Akidah dan Syariah Islamiah.
Nur Farhana berkata, penjelasan Jakim ini penting kerana penglibatan dalam perayaan pelbagai kaum telah dijadikan sebagai merit yang perlu dipenuhi oleh mahasiswa universiti.
“Kita tidak mahu fahaman pluralisme ini mula menular menerusi bidang pendidikan seperti apa yang telah berlaku terhadap negara jiran kita, Indonesia,” katanya.
Sehubungan itu, katanya, pihak berkenaan diminta berhati-hati dalam pelaksanaan sesuatu dasar kerana pengaruh seperti fahaman ini begitu mudah untuk berkembang di kalangan pelajar.
Nur Farhana berkata, pluralisme memang mempunyai banyak percanggahan dengan agama Islam terutamanya dari sudut akidah, syariah dan akhlak.
“Malah pendukung pluralisme juga menegaskan semua agama bermatlamat tujuan yang satu iaitu Allah walaupun berbeza dari segi pendekatan dan ibadat mengikut agama masing-masing,” katanya.
Katanya, pluralisme juga membenarkan penganutnya berkahwin lintas agama di mana orang Islam bebas berkahwin dengan agama lain.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan