SHAH ALAM─ Pengganti Datuk Seri Dr Mohamad Khir Toyo sebagai ketua pembangkang di Dewan Undangan Negeri Selangor akan diputuskan oleh pimpinan Barisan Nasional (BN), kata Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin.
“Kita biar pihak berkuasa tentukan (mengenai kes mahkamah). Tapi bagi pihak BN, kita menjalankan tugas seperti biasa kerana kita tidak mahu ini menggugat dan mengganggu pentadbiran parti,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan persidangan agung perwakilan Kesatuan Penghulu/Penggawa Semenanjung Malaysia di sini hari ini.
Isnin lepas, Dr Khir, 45 (gambar), mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Shah Alam terhadap tuduhan mendapatkan untuk dirinya dan isteri, Datin Seri Zahrah Kechik, 45, suatu barang berharga dengan balasan yang beliau ketahui tidak mencukupi, iaitu dua lot tanah dan sebuah rumah di Jalan Suasa 7/1L, Shah Alam, daripada Ditamas Sdn Bhd melalui pengarahnya Datuk Shamsuddin Hayroni dengan harga RM3.5 juta, sedangkan hartanah itu dibeli oleh Ditamas pada 23 Dis 2004 pada harga RM6.5 juta, manakala Shamsuddin pula mempunyai hubungan dengan kerja rasminya.
Ekoran itu, Dr Khir yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri kawasan Sungai Panjang, meletak jawatan sebagai ketua pembangkang.
Muhyiddin berkata meskipun Dr Khir menghadapi masalah tapi itu tidak bermakna urusan parti dan urusan di peringkat kawasan tidak dapat dijalankan.
“Apa yang penting, Dr Khir menghadapi masalah, tapi parti dan urusan lain perlu dijalankan seperti biasa. Dalam Dewan Undangan Negeri pula, akan dipilih wakil bagi menggantikan beliau (sebagai ketua pembangkang),” katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan