Rabu, 1 Disember 2010

Tiada istilah Ketuanan Melayu dalam Perlembagaan hanya Ketuanan Raja, kata pakar

BERNAMA

KUALA LUMPUR — Istilah ''Ketuanan Melayu'' tidak perlu dibahaskan kerana ia tidak wujud dalam perlembagaan negara, kata pakar sejarah Profesor Emeritus Tan Sri Dr Khoo Kay Kim.

Beliau berkata dalam aspek sejarah, hanya ''Ketuanan Raja'' yang termaktub dalam perlembagaan kerana rakyat perlu menunjukkan taat setia kepada raja.

"Sebelum ini tidak pernah disebut ''Ketuanan Melayu'' dalam masyarakat Melayu. Dalam sejarah hal sebegitu tidak betul. Yang ada dalam perlembagaan Cuma ''Ketuanan Raja'' iaitu di mana bumi dipijak, di situ langit dijunjung.

"Orang Melayu mendapat hak keistimewaan kerana mereka adalah rakyat raja, kerana itu raja yang penting. Kedudukan orang Melayu memang diberikan pertimbangan khas dan tidak perlu dipersoalkan," katanya kepada Bernama malam ini.

Beliau diminta mengulas kenyataan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) Datin Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail mengenai Ketuanan Melayu yang dibangkitkannya ketika menyampaikan ucapan dasar pada Kongres Nasional Tahunan Ketujuh parti itu Ahad lepas.

Dr Wan Azizah meminta konsep Ketuanan Melayu dihapuskan bagi membolehkan anak-anak membesar dengan visi ''bangsa bermaruah'' atau ''Melayu bermaruah''.

Khoo berkata istilah Ketuanan Melayu hanya dibangkitkan oleh ahli politik bagi tujuan politik semata-mata, dan beliau melihat ahli politik sekarang sering membangkitkan isu yang boleh mendatangkan konfrontasi antara kaum.

"Ahli politik seharusnya memberi perhatian kepada perkhidmatan mereka kepada rakyat, menolong rakyat. Bukan menggalakkan rakyat untuk bergaduh," katanya.

Sementara itu, Pengarah Institut Kajian Etnik Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) Profesor Datuk Dr Shamsul Amri Baharuddin sependapat dengan Khoo bahawa istilah Ketuanan Melayu hanya ciptaan ahli politik dalam menggambarkan kedudukan politik dan ekonomi orang Melayu.

Sambil mempersoalkan tindakan Dr Wan Azizah, beliau berkata kenyataan isteri Datuk Seri Anwar Ibrahim itu hanyalah gimik politik dan untuk menutup kemelut yang dihadapi PKR ketika ini.

"Saya tidak tahu kenapa timbulkan isu ini. Apa yang saya nampak adalah ‘Ketuanan Anwar’ dalam PKR. ‘Ketuanan Anwar’ yang perlu dihapuskan. '’Ketuanan Melayu’ hanya nak kaburkan ''Ketuanan Anwar''. Pada pandangan saya, konsep itu (Ketuanan Melayu) tidak ada," katanya.

Beliau berkata Dr Wan Azizah perlu melihat semula apa yang dimaksudkan dengan ketuanan itu dan tidak seharusnya mempersoalkan hak keistimewaan orang Melayu yang telah termaktub sejak zaman kesultanan Melayu lagi.

Shamsul Amri berkata jika dilihat dalam soal ekonomi, kaum Cina mendominasi sebanyak 70 peratus daripadanya manakala Melayu hanya 30 peratus, dan tiada istilah kaum Melayu mendominasi dalam semua aspek.

"Kalau kita lihat sepatutnya 70 peratus itulah yang tuan. Jadi, ketuanan Melayu itu menunjukkan apa? Apa dia ketuanan itu? Dia (Dr Wan Azizah) sendiri tidak jelas apakah maksud ketuanan itu," katanya.

Beliau berkata ahli politik seharusnya memikirkan isu yang relevan untuk dibincangkan dan tidak membangkitkan isu yang boleh mendatangkan kesan buruk antara kaum.

17 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

kita harus memahami maksud sebenar ketuanan Malayu.

azman berkata...

sebaiknya jika pekara ini tidak dipolitikkan.

azman berkata...

ahli politik seharusnya memberikan tumpuan untuk berkhidmat kepada rakyat. itu lebih baik.

Anak Sabah berkata...

Kita tengoklah bagaimana rakyat menyerap kenyataan ini.

Hosie Masie berkata...

Inilah yang berlaku apabila politik berlaku, bermacam-macam boleh jadi dan berlaku oleh politik. Apa pun kita mengharapkan perkara ini tidak perlu dibesarkan lagi. Memang ketuanan melayu tidak ada didunia ini. Hanya rekaan politik semata-mata. Hanya ketuanan raja yang termaktub dalam sejarah.

Sanih Alias berkata...

Ini juga yang berlaku jika agama dipolitikkan. Maka diminta kepada mereka para politik supaya jangan memasukkan sesuatu berkaitan dengan agama. Takut tersalah ajar pula.

mandau berkata...

hal ini tk patut dipolitikan. ia amat sensitif.

Leo berkata...

Jangan libatkan ketuanan melayu dalam politik. Ia hanya akan menimbulkan pelbagai isu perkauman.

nickko berkata...

pembangkang hanya pandai memutar belitkan isu bagi mengelirukan rakyat semata2 untuk kepentingan politik mereka. mungkin lebih baik jika tidak ada parti pembangkang di Malaysia supaya rakyat dapat hidup lebih aman.

nickko berkata...

pembangkang hari ini tidak mempunyai pendirian yang tetap. apa sahaja yang dilakukan oleh parti pemerintah akan digagalkan walaupun ianya baik untuk rakyat. malah jika kerajaan melakukan sebaliknya pun tetap juga akan dibantah. jika kita kaji semua yang pernah dibangkang oleh pembangkang, jika kerajaan menurut sahaja telunjuk mereka pasti pada hari ini kita jauh lebih teruk dari negara2 mundur yang lain.

Tanpa Nama berkata...

ianya hanya istilah yang dibangkitkan untuk tujuan politik..apakah yang dimaksudkan dengan 'ketuanan Melayu'? ternyata banyak ahli2 politik yang hanya mementingkan diri sendiri dan bukannya rakyat..rakyat pula diperbodohkan dengan sesuatu yang bukan fakta..

Tanpa Nama berkata...

rakyat juga jangan terus percaya dengan apa jua yang keluar dari mulut ahli2 politik..sebaiknya penuhkan dada dengan ilmu pengetahuan agar tidak menjadi mangsa kerakusan untuk berkuasa..

Paquin berkata...

Saya yakin hal ni takkan jadi isu jika tidak dipolitikkan oleh sesetengah pihak yang hanya mahu memikirkan kepentingan diri sendiri.

Paquin berkata...

Saya harap rakyat matang menilai perkara ini... Jangan sampai terikut hasutan yang kurang sihat daripada parti yang punya niat jahat.

gambir berkata...

Siapa sebenarnya yang mulakan isu ketuanan melayu ni?

gambir berkata...

siapa tuan siapa hamba? adakah melayu tu tuan di M'sia dan adakah bangsa-bangsa lain tu hamba? untuk elakkan konflik dan kemelut ni berterusan...saya rasa lebih baik benda ni tidak diperbesar-besarkan dan tidak melarat sehingga menimbulkan pergaduhan antara orang Melayu dan bukan melayu...berfikir dengan bijak tidak merugikan sesiapa :)

Antanum berkata...

Ketuanan melayu hanya timbul apabila ada segelintir rakyat yang melihat bahawa melayu seperti tuan dalam konteks ini. Sememangnya tidak ada ketuanan melayu tetapi keadaan semasa yang menimbulkan istilah tersebut.