Rabu, 1 Disember 2010

"Tabung Budi terima sambutan menggalakkan" – Syabas


syabas_07Oleh Rahmah Ghazali

PETALING JAYA: Walaupun diserang bertubi-tubi oleh kerajaan negeri, Syarikat Perbekalan Air Selangor (Syabas) hari ini mempertahankan tindakannya melancarkan kutipan derma mengisi Tabung Budi kerana mendakwa usahanya itu mendapat sambutan menggalakkan daripada orang ramai.

Pengarah Eksekutif dan Hal Ehwal Korporatnya, Abdul Halem Mat Som memberitahu FMT bahawa data menunjukkan orang awam menderma sebanyak RM190,000 sejak program itu dilancarkan pada Oktober lalu.

Menurut beliau, 14 isi rumah mendapat faedah dari program ini dengan purata sebanyak tiga isi rumah setiap minggu.

"Saya tidak tahu kenapa berlaku kekecuhan, kerana kutipan kami tidak melibatkan jutaan ringgit…..tambahan pula, kami membantu mereka yang kurang bernasib baik mendapatkan air percuma," katanya.

Pertikaian di antara kerajaan negeri dan Syabas tercetus apabila syarikat konsesi air itu mengumumkan bahawa pihaknya akan membenarkan para pengguna membatalkan hak mereka ke atas 20 meter padu air percuma bernilai RM11.40 dan kembalikannya kepada Syabas.

Tetapi Menteri Besar Selangor Abdul Khalid Ibrahim berkata para pengguna yang ingin menderma kos subsidi air sepatutnya mengembalikannya kepada kerajaan negeri dan bukan kepada Syabas, kerana ia merupakan wang negeri untuk rakyat.

Khalid membidas dengan menyatakan kutipan daripada orang awam bermakna syarikat konsesi air mahu dibayar dua kali.

Tetapi Syabas menegaskan bahawa wang tersebut akan digunakan untuk menyambung semula bekalan air yang dipotong kerana gagal membayar bil.

Tiada rancangan untuk berhenti Tabung Budi

Apabila disoal sama ada Syabas akan memberhentikan program Tabung Budi bagi mematuhi arahan kerajaan negeri, Halem berkata, ini hanya akan membebankan rakyat.

Kerajaan Selangor minggu lalu mengeluarkan notis 14 hari kepada syarikat konsesi air itu supaya menghentikan program tersebut atau menghadapi risiko lesennya untuk membekal air ditarik balik.

Sebagai pemegang lesen, Syabas hanya mempunyai kuasa untuk mengutip dan menyimpan bayaran caj yang bakal diterima atas penggunaan air di sekitar kawasan pengagihannya sahaja, kata notis itu.

Tapi Halem mendakwa bahawa mereka yang menerima sumbangan berterima kasih kerana wujudnya program itu dan akan membebankan mereka jika perkhidmatan itu diberhentikan.

"Jika kita terpaksa menghentikan program ini, penerimanya akan merasa sedih kerana mereka tidak lagi menikmati air percuma, yang didermakan oleh orang lain," kata Halem.

Menurut beliau, notis itu tidak harus menjadi penghalang terhadap objektif membantu mereka yang memerlukannya.

"Tidak ada tekanan yang kami terima. Apa pun, kami harus beri keutamaan apa yang pengguna mahu," katanya

Tiada ulasan: