Jumaat, 10 Disember 2010

"Saya tembak atas inisiatif sendiri" – Saksi


Aminul rashidOleh Jamilah Kamarudin

SHAH ALAM: Saksi perbicaraan kes kematian remaja Aminulrasyid Amzah hari ini mengaku kepada Mahkamah Tinggi bahawa tembakan yang dilepaskan ke arah kereta Proton Iswara Aeroback putih yang dipandu mangsa itu adalah atas inisiatifnya sendiri.

Konstabel Mohd Izham Mahayaddin berkata, semasa insiden kejar mengejar antara kereta BET 2053 dengan kereta peronda polis yang dinaikinya (Selangor 589) itu tiada sesiapa pun yang mengarahkannya supaya melepaskan tembakan.

Malah beliau juga mengakui tidak ada sebarang komunikasi dengan pemandu Selangor 589 ketika itu Koperal Azhar Hashim semasa kejadian tembakan berlaku.

Namun ditanya Timbalan Pendakwa Raya Mohd Dusuki Mokhtar sebab tembakan dilepaskan hanya setelah sampai di Bulatan Kayangan di sini dan bukan sebelumnya, Mohd Izham berkata pada ketika itu posisi untuk menembak lebih jelas dan selamat untuk dilepaskan.

"Selamat untuk dilepaskan bermakna tiada kereta orang awam disekeliling dan posisi untuk tembak tayar kereta lebih senang serta dapat dilihat dengan lebih jelas," katanya.

Beliau berkata, sejurus selepas tembakan dilepaskan ke arah kereta BET 2053 beliau mula melihat tayar kereta bahagian belakang mulai bocor dan tangki minyak mula mengeluarkan minyak.

Mohd Izham berkata beliau tidak lagi melepaskan tembakan selepas kereta peronda polis Selangor 589 melalui Persiaran Kayangan.

Mohd Izham yang bertugas di cawangan kereta peronda Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Shah Alam Seksyen 11 dalam keterangannya juga berkata semasa insiden itu beliau terkejut apabila terdengar bunyi tembakan yang kuat dilepaskan daripada arah belakang kereta yang dinaikinya.

"Saya tak sangka tembakan lain dilepaskan sebab kereta itu (BET 2053) sudah terhuyung-hayang dan sukar untuk melarikan diri lagi kerana keadaan tayar kereta yang sudah pecah.

"Kalau dalam keadaan itu saya tidak lagi melepaskan tembakan kerana saya dapat lihat kereta itu sudah lemah dan tidak boleh agresif lagi," katanya.

Azamuddin dapat larikan diri daripada digari

Mohd Izham dalam keterangannya juga memberitahu mahkamah selepas kereta BET 2053 terbabas melanggar tembok di Jalan Tarian 11/2 disini, beliau keluar daripada kereta peronda yang dinaikinya dan mendekati kereta Proton Iswara itu dengan mengacukan senjata.

Ketika sedang menghampiri kereta terbabit, kelihatan seorang lelaki keluar bahagian belakang kiri kereta cuba untuk melarikan diri, katanya.

Walaupun Koperal Azhar cuba menangkapnya, beliau berkata lelaki itu bagaimanapun dapat melepaskan diri daripada digari.

"Lelaki itu terjatuh atas rumput dan Koperal Azhar cuba untuk tangkap dan garinya.

"Saya nampak Koperal Azhar pegang tangan dan cuba nak gari tetapi lelaki tersebut meronta, bila dia sedang cuba untuk membantu saya nampak dia dapat lepaskan diri," katanya.

Beliau bagaimanapun tidak dapat mengecam wajah sebenar lelaki tersebut kerana keadaan jalan yang gelap, namun dapat melihat fizikal lelaki itu yang sederhana tinggi.

"Saya ada cakap ‘jangan lari’ pada lelaki tersebut dan kejar sehingga Jalan Gamelan 11/2E. Sampai disitu, jalan gelap dan lelaki itu sudah lagi tidak kelihatan," katanya.

Tertuduh buat pemeriksaan badan pada mayat Aminulrasyid

Mohd Izham juga memberitahu mahkamah, selepas gagal menjejaki lelaki yang dikejarnya itu, beliau kembali semula ke tempat kejadian dan melihat sekujur tubuh lelaki tertiarap di tempat duduk pemandu kereta BET 2053 dengan separuh kakinya terkeluar daripada kereta.

Beliau juga memberitahu tidak dapat mengecam kerana muka lelaki itu dalam keadaan tertiarap dan menghadap ke bawah kerusi pemandu.

Ditanya Dusuki bagaimana mangsa boleh berada dalam kedudukan sedemikian, Mohd Izham berkata Koperal Jenain Subi telah membawa mangsa keluar daripada kereta untuk pemeriksaan badan dan dokumen pengenalan diri.

DPP: Boleh jelaskan bagaimana Koperal Jenain ada disitu?

Izham: Selepas kereta BET 2053 terbabas, sebuah kereta peronda polis Selangor 614 berhenti dibelakangnya. Semasa cubaan kejar dan tangkap, saya cuma nampak kelibat dua anggota polis keluar daripada Selangor 614.

Kemudian setelah berlaku cubaan tangkapan dan berpatah balik ke tempat kejadian, baru saya tahu kereta peronda 614 dinaiki Koperal Jenain.

DPP: Awak kenal Koperal Jenain?

Izham: Ya saya kenal. Koperal Jenain salah seorang anggota MPV IPD Shah Alam. Selain Koperal Jenain turut kelihatan Konstabel Hafiz di lokasi kejadian. Beliau juga seorang anggota MPV IPD Shah Alam. Jadi Selangor 614 dinaiki Konstabel Hafiz dan Koperal Jenain.

DPP: Pada masa itu, ada awak tahu siapa melepaskan tembakan di Jalan Tarian?

Izham: Saya tidak tahu lagi pada masa itu. Saya nampak Koperal Jenain buat pemeriksaan badan ke atas pemandu (mangsa) dan Konstabel Azhar hanya memerhatikan sahaja. Koperal Jenain kemudiannya menghubungi bilik gerakan Shah Alam untuk maklumkan kejadian dan bantuan ambulans.

Selain itu, Mohd Izham dalam keterangannya turut mengakui tidak wujud sebarang pelanggaran antara kereta BET 2053 dengan Selangor 589 yang dinaikinya semasa insiden kejar mengejar.

Beliau juga mengakui tidak menyedari kewujudan parang dibawah kerusi penumpang hadapan kereta BET 2053 sehingga diberitahu pasukan forensik polis yang datang memeriksa tempat kejadian.

Perbicaraan bersambung esok bagi menyambung semula mendengar keterangan Mohd Izham, dan mahkamah turut dijangka mendengar keterangan daripada Koperal Azhar Hashim dan Konstabel Hafiz. Tertuduh, Koperal Jenain Subi didakwa menyebabkan kematian Aminulrasyid, 15 di Jalan Traian 11/2, Seksyen 11 di sini pada 26 April lalu antara pukul 1.10 pagi dan 2 pagi.

Jenain dibicarakan mengikut Seksyen 304(a) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 30 tahun dan denda jika sabit kesalahan.

Tiada ulasan: