Sabtu, 4 Disember 2010

Proses naik taraf Darul Quran jadi kolej universiti peringkat akhir

BERNAMA

PUTRAJAYA — Proses menaiktaraf Darul Quran untuk menjadikannya sebuah Kolej Universiti kini sedang dalam peringkat akhir, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Jamil Khir Baharom.

Beliau berkata dengan pengiktirafan itu, ia akan memartabatkan lagi peranan Darul Quran sebagai institusi bagi melahirkan pelajar tahfiz al-Quran.

“Sekarang kerja-kerja perancangan akademik daripada segi meningkatkan prasarana lain sedang giat dijalankan,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Pada April lepas, Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri Pelajaran Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata pihaknya sedang berusaha untuk meningkatkan taraf Darul Quran dengan menjadikannya sebuah Kolej Universiti atau Universiti yang berupaya melahirkan graduan sehingga ke peringkat ijazah kedoktoran.

Terdahulu, Jamil Khir menyaksikan majlis menandatangani memorandum perjanjian (MoA) antara Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) yang diwakili Ketua Pengarahnya Datuk Wan Mohamad Sheikh Abdul Aziz, manakala Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) diwakili Timbalan Naib Canselor Akademik dan Antarabangsa Prof Dr Musa Ahmad.

MoA itu adalah lanjutan kepada Memorandum Persefahaman yang telah ditandatangani pada tahun lepas bagi membolehkan pelajar dari Darul Quran menyambung pengajian di peringkat Ijazah Sarjana Muda Pengajian Quran dan Sunnah dengan kepujian dari USIM.

Pada masa ini, seramai 68 pelajar sedang mengikuti program berkenaan.

Mengulas mengenainya, Jamil Khir berkata ia merupakan satu kerjasama yang bijak untuk melahirkan pelajar yang mempunyai ijazah dalam bidang hafazan al-Quran di negara sendiri.

Tiada ulasan: