Khamis, 23 Disember 2010

Pengantin baru mati tukar mentol

Oleh Junita Mat Rasid

MUAR: Seorang guru lelaki hanya sempat mengecap nikmat perkahwinan empat hari sebelum meninggal dunia akibat terkena renjatan elektrik ketika menukar mentol di rumah keluarganya di Parit Pinang Seribu di sini, malam kelmarin.

Keluarganya cuba membantu, tetapi Shahrizal Salleh, 30, gagal diselamatkan. Polis yang datang menyiasat menghantar mangsa ke ke Hospital Pakar Sultanah Fatimah (HPSF), tetapi dia disahkan meninggal dunia.

Seorang penduduk kampung yang enggan dikenali berkata, mangsa baru melangsungkan perkahwinan Sabtu lalu.

Menurutnya, keluarga Shahrizal dijadualkan mengadakan majlis menyambut menantu, Sabtu ini.


Katanya, persiapan untuk majlis di rumah keluarga Shahrizal sudah hampir siap sepenuhnya.


“Difahamkan, mangsa cuba menukar mentol lampu tanpa menyedari terdapat aliran elektrik menyebabkan dia terkena renjatan, terjatuh dan tidak sedarkan diri.

“Keluarganya cuba membantu, tetapi mendapati mangsa sudah tidak bernafas dan menghubungi polis. Mangsa dibawa ke HPSF oleh polis tetapi disahkan sudah meninggal dunia,” katanya di sini, semalam.

Difahamkan, kejadian dipercayai berlaku ketika hujan lebat yang berkemungkinan menyebabkan renjatan elektrik itu berlaku.

Shahrizal yang mengajar di sekolah berhampiran kampungnya berkahwin dengan pasangannya yang juga mendiami daerah ini.

Ahli keluarga mangsa ketika ditemui enggan ditemubual kerana terlalu sedih dengan kejadian itu.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Muar, Asisten Komisioner Mohammad Nasir Ramli ketika dihubungi mengesahkan kejadian berkenaan dan pihaknya menerima laporan kes berkenaan.

“Kes ini diklasifikasikan sebagai mati mengejut dan kami percaya mangsa terkena renjatan elektrik. Keluarga mangsa menuntut jenazahnya di HPSF selepas bedah siasat,” katanya.

Tiada ulasan: