Rabu, 22 Disember 2010

Pemilihan MTUC: Hidup mati Syed Shahir

FREE MALAYSIA TODAY

syed_syed_shahir_malaysia2PETALING JAYA: Pemilihan kepimpinan Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) kali ini penting kerana ia akan menjadi penentu hala tuju pertubuhan pekerja terbesar negara dalam tempoh tiga tahun akan datang.

MTUC ditubuhkan pada tahun 1949 dengan seramai 130 anggota gabungan dengan ahli seramai kira-kira 500,000 orang di kalangan pekerja sektor swasta tempatan.

Sudah tentu agenda utama persidangan dua hari – Selasa dan Rabu ini – di Petaling Jaya lebih terarah kepada pemilihan jawatan-jawatan utama khususnya Presiden yang kini disandang oleh Syed Shahir Mohamud sejak tiga penggal yang lalu.

Syed Shahir yang mengalahkan Datuk Zainal Rampak dalam pemilihan 2004 akan dicabar oleh timbalannya, Khalid Atan.

Tiga tahun kemudian iaiatu 2007, Syed Shahir menewaskan Mohd Shafie BP Mammal, presiden Kesatuan Sekerja Pekerja Telekom (NUTE) untuk mengekalkan jawatan bagi penggal kedua.

Pada tahun ini, Syed Shahir dari Kesatuan Kebangsaan Pekerja Peralatan Pengangkutan mendapat pencalonan dari 14 kesatuan gabungan, manakala Khalid Atan dari Kesatuan Pekerja-pekerja Perhutanan menerima 18 pencalonan.

Setiausaha Agung – kerusi tumpuan

Satu lagi kerusi yang menjadi tumpuan ialah setiausaha agung yang kosong ekoran keputusan G Rajasekaran tidak mempertahankan jawatan. Kerusi setiausaha agung dalam MTUC dianggap lebih penting dan tinggi berbanding jawatan timbalan presiden.

Jawatan yang kosong ini membuka ruang kepada tiga calon – J Solomon, Halim Mansor dan Abdullah Sani Abdul Hamid – yang kalah kepada Rajasekaran dalam pemilihan 2007.

Begitupun, jawatan timbalan presiden juga kosong ekoran keputusan Khalid bertanding jawatan timbalan presiden.

P. Maniam dari Kesatuan Pekerja-pekerja Industri Elektrik, Setiausaha Agung Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan Loke Yim Pheng, Mohd Jafar Abd Majid (Kesatuan Pekerja-pekerja Telekom Kebangsaan) dan Abdul Razak Md Hassan (Kesatuan Keretapi Tanah Melayu) akan bertanding jawatan timbalan presiden mengisi kekosongan yang ditinggalkan Atan.

Regu dalam PKR

Syed Shahir dan regu baiknya, Abdullah Sani merupakan orang kuat PKR. Syed Shahir adalah ketua cabang PKR Kelana Jaya manakala Abdullah Sani, Ahli Parlimen PKR Hulu Langat.

Sudah tentu cabaran utama pimpinan baru MTUC berkaitan sasaran kerajaan untuk menjadikan Malaysia negara berpendapatan tinggi dalam tempoh 10 tahun.

Selain itu, barisan pemimpin baru MTUC juga harus memastikan perjuangan kongres selama 20 tahun untuk mewujudkan gaji minimum mencapai satu keputusan, kata sumber itu lagi.

Sejak beberapa tahun lepas MTUC telah ‘‘kehilangan taring’’ dalam melindungi hak pekerja kerana kepimpinan kongres dilemahkan dari dalam akibat perpecahan.

MTUC sendiri telah lama berjuang untuk mendesak kerajaan melaksanakan beberapa perkara dalam tuntutan mereka dengan yang paling konsisten ialah pelaksanaan gaji minima iaitu RM1,200 sebulan.

Tiada ulasan: