Rabu, 1 Disember 2010

Najib lulus RM700 juta lagi bangunkan Iskandar Malaysia

BERNAMA

NUSAJAYA – Iskandar Malaysia menerima peruntukan tambahan sebanyak RM700 juta untuk membangunkan pelbagai infrastruktur di koridor pembangunan berkenaan dalam tempoh dua tahun ini.

Menteri Besar Johor Datuk Abdul Ghani Othman berkata peruntukan itu diluluskan menerusi mesyuarat Lembaga Pengarah Pihak Berkuasa Pembangunan Iskandar (IRDA) yang pengerusikan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak, selaku Pengerusi Bersama IRDA, semalam.

“Sebanyak RM339 juta telah diperuntukkan untuk dua tahun terdekat ini menerusi Bajet 2011 dan semalam Perdana Menteri bersetuju untuk menambah sebanyak RM700 juta lagi kepada Iskandar Malaysia,” katanya.

Berucap merasmikan program pelancongan Kota Iskandar dan Galeri Siar Jauhar, Bangunan Sultan Ismail, di sini hari ini, Abdul Ghani yang juga Pengerusi Bersama IRDA melahirkan keyakinan bahawa peruntukan itu membolehkan semua pembangunan yang dirancangkan siap mengikut jadual.

“Peruntukan tersebut membolehkan projek-projek dapat disempurnakan sehingga tahun 2012, yang merupakan tahun membawa perubahan amat mendadak di mana taman tema Legoland akan mula beroperasi dengan dianggarkan menerima sejuta pelawat manakala Universiti New Castle beroperasi akhir tahun depan,” katanya.

Dalam pada itu, Abdul Ghani berkata kira-kira 10,400 orang termasuk rakyat tempatan dan luar negara dianggarkan mengunjungi Kota Iskandar sejak kawasan yang menempatkan pusat pentadbiran baru Johor itu dibuka dua tahun lepas.

Beliau berkata Kota Iskandar bukan sahaja dikunjungi oleh mereka yang mempunyai urusan dengan jabatan kerajaan malah oleh pihak yang ingin mengambil contoh konsep pembangunan di kawasan itu.

Kota Iskandar juga, katanya telah memenangi anugerah Hartanah FIABCI Malaysia 2010 bagi sektor awam, yang diadakan di ibu negara, 11 Nov lepas.

Sehubungan itu, beliau berkata usaha menjadikan Kota Iskandar sebagai salah satu daripada 10 destinasi pelancongan Johor dapat mempelbagaikan tarikan pelancong ke negeri ini selain memberi pendidikan kepada pelancong asing mengenai warisan dan sejarah Johor.

Menerusi program pelancongan Kota Iskandar dan Galeri Sinar Jauhar, Abdul Ghani berkata 20 pemandu pelancong disediakan untuk memberi latihan dan maklumat mengenai kota tersebut termasuk mengelilingi kawasan sekitar dan menyaksikan persidangan Dewan Undangan Negeri.

“Di Bangunan Sultan Ismail terdapat dua taman, ‘‘Laman Bunga Rampai’’ dan ‘‘Laman Bunga Kasturi’’ yang direka cipta daripada konsep Alhambra. Pelancong akan dibawa mengelilingi kawasan sekitar taman itu bagi merasai keindahan alam sekitarnya,” katanya.

Tiada ulasan: