Sabtu, 4 Disember 2010

MBE: MPEN syor laksana GST, susun semula pendapatan cukai individu

THE MALAYSIAN INSIDER

KUALA LUMPUR — Bagi meningkatkan kecekapan sistem cukai, pentadbiran Najib diminta melaksanakan pembaharuan cukai termasuk melaksanakan cukai barangan dan perkhidmatan (GST), mengurangkan beberapa insentif cukai syarikat dan menurunkan kadar cukai selaras dengan negara-negara jiran.

Majlis Penasihat Ekonomi Negara (MPEN) juga mencadangkan agar kerajaan menyusun semula cukai pendapatan individu supaya kurang regresif, menurunkan kadar cukai dan menggabungkan kredit cukai pendapatan individu kepada beberapa kategori yang lebih kecil.

Selain itu MPEN juga mencadangkan pengurusan cukai dan kadar kepatuhan cukai ditingkatkan serta mengasingkan semua hasil daripada sumber minyak sebagai hasil khas yang dimasukkan ke dalam akaun atau tabung khas.

Dalam meningkatkan kawalan perbelanjaan, MPEN mencadangkan langkah pembaharuan perbelanjaan, termasuk memperkenal pengurusan nilai dalam perancangan perbelanjaan untuk memastikan kerajaan mendapat nilai daripada wang yang dibelanjakan, mewujudkan dasar dan peraturan perolehan yang telus untuk menggalakkan persaingan harga yang lebih baik dan membantu mengawal perbelanjaan.

MPEN turut mencadangakan supaya menyesuaikan saiz sektor awam bagi mengurangkan perbelanjaan emolumen dan memperbaharui sistem pencen sektor awam bagi mengurangkan liabiliti luar jangka kerajaan.

“Khasnya, kemasukan baharu dalam perkhidmatan awam seharusnya perlu menyertai skim pencen berbayar, dan skim pencen itu perlu juga menangani isu berkaitan kemasukan ke dalam dan keluar daripada sektor awam secara fleksibel seperti yang dicadangkan dalam pembaharuan sektor awam,” kata MPEN dalam Model Baru Ekonomi untuk Malaysia Bahagian Akhir: Langkah Dasar Strategik yang dikeluarkan di sini hari ini.

Majlis itu juga mencadangkan kajian semula subsidi dan bayaran pindahan.

Sementara itu, MPEN mencadangkan supaya institusi fiskal dikaji semula dengan tujuan untuk memperkukuh peranan dan fungsi mereka.

Majlis itu menjelaskan penggunaan baki keseluruhan sebagai petunjuk kepada dasar fiskal negara tidak mencukupi dan ia memberi syarat yang salah kepada penggubal dasar kerana saiz dan ketidaktentuan hasil minyak negara.

“Defisit keseluruhan Malaysia mungkin rendah, memberi gambaran yang kerajaan sedang mengukuhkan kedudukan kewangannya sedangkan sebenarnya mungkin terdapat risiko rangsangan dan pada masa yang sama terdapat kemungkinan pengurangan perbelanjaan yang drastik bila harga minyak merudum,” katanya.

MPEN mencadangkan kerajaan mengguna pakai baki bukan minyak bersama-sama dengan agregat bukan minyak lain di samping agregat biasa dalam penggubalan dasar fiskal.

Satu lagi cadangan penting ialah kerajaan melaksana “Laporan mengenai Pematuhan Standard dan Kod (ROSC) mengenai Ketelusan Fiskal”, katanya.

“Ini merupakan penilaian sejauh mana penggubalan dasar fiskal kerajaan dilihat dari segi ketulusan dan keberkesanannya berdasarkan piawaian amalan terbaik antarabangsa.

Dalam jangka panjang, perkara-perkara yang perlu dilaksanakan termasuk menyediakan rangka kerja belanjawan jangka sederhana dan jangka panjang dan memperbaiki penyebaran maklumat mengenai kewangan awam,” kata MPEN.

Selain itu MPEN juga mengesyorkan supaya Jawatankuasa Perancangan Pembangunan Negara (NDPC) perlu diaktifkan semula bagi menyelaras dan mengkaji semula dasar kementerian dan agensi kerajaan di peringkat pusat, negeri dan kerajaan tempatan.

Tindakan itu adalah sejajar dengan pendekatan kerajaan yang menyeluruh, kata MPEN.

MPEN berkata NDPC baharu itu perlu diaktifkan semula untuk memberi tumpuan terhadap penggubalan dan pelaksanaan dasar, bukan secara eksklusif kepada proses perancangan pembangunan.

“Bagi memastikan keberkaitan yang lebih baik dalam pembentukan dan fasa pelaksanaan dasar-dasar nasional impak tinggi, jumlah jawatankuasa perlu dikaji semula dan dirasionalisasikan,” katanya.

MPEN berkata peranan baharu dan fungsi NDPC, termasuk menyemak cadangan dasar pelbagai kementerian dan agensi, penelitian yang lebih intensif ke atas inisiatif dan dasar sektoral daripada pelbagai kementerian atau agensi membuat keputusan dasar, memantau pelaksanaan dasar dan keputusan kerajaan dan menyediakan maklumat berkaitan untuk rakyat yang sesuai dan mereka bentuk pelarasan dan intervensi tambahan yang diperlukan serta langkah-langkah untuk memastikan pelaksanaan dasar akan terus kekal ke arah mencapai keputusan-keputusan yang diingini.

Tiada ulasan: