Dia ditumbuk bertubi-tubi, digari, ditendang dan dipijak. Bermuntah darahnya, terpelantingnya pada dinding. Dia ditendang sehingga jatuh berguling-guling dari tangga. Wang tunainya sebanyak RM13,000 dicuri. Dia dipaksa buat laporan bahawa kecederaan ini disebabkan kemalangan jalanraya. Dia diugut untuk diletakkan dadah dan parang dalam keretanya. Malah, perniagaannya, keselamatan dirinya dan keluarganya akan terancam seandainya beliau membuat laporan polis.
Demikianlah pengalaman Chia Bung Hing (gambar kiri), yang enggan menyogok polis ketika dihentikan kerana cukai jalan kereta isteri yang dipandunya telah melewati tarikh luput. Beliau mahu dirinya disaman polis, tetapi dibalas dengan tumbukan bertubi-tubi oleh anggota polis. Beliau dibawa ke balai polis, dibelasah tujuh orang anggota sehingga muntah darah.
Chia Bung Hing yang takut dirinya "mati buta-buta" seperti Teoh Beng Hock secara senyap-senyap meletakkan cop jari darahnya pada dinding dan pintu tandas di Jabatan Nakrotik ketika dibawa ke sana. Beliau tidak dapat kencing lagi ketika disuruh untuk berbuat demikian kerana habis kencingnya ketika dipukul polis.
Lelaki yang berumur 34 tahun ini pernah dibawa ke Mahkamah Petaling Jaya untuk permohonan reman. Beliau yang sudah cedera, berdarah dan tidak terdaya untuk berdiri mengadu kepada majistret, bahawa dirinya dipukul polis dan duitnya diambil polis. Chia Bung Hing memohon untuk menghubungi isteri dan ibunya, tetapi semuanya tidak dihirau. Dia dipukul lagi selepas dibawa keluar mahkamah.
Demikianlah pengalaman Chia Bung Hing, yang didedahkan dalam satu sidang media bersama ahli parlimen Segambut, Lim Lip Eng, pagi ini.
*Ong Vic Kee ialah wartawan MerdekaReview, edisi bahasa Cina. Diterjemah dan disunting daripada teks asal.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan