FREE MALAYSIA TODAY
PETALING JAYA: Pakatan Rakyat (PR) akan memberi tumpuan kepada usaha memperkukuh semangat setiakawan dan perpaduan di kalangan komponen-komponen parti dan membincangkan agenda yang dipersetujui bersama dalam Konvensyen PR Kedua di Kepala Batas pada 19 Disember ini.
Ketua Umum PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata demikian selepas mempengerusikan mesyuarat PR di ibu pejabat PKR, Tropicana di sini petang semalam.
Beliau berkata, dalam mesyuarat itu, Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang dan Naib Presiden PAS Datuk Mustafa Ali menjelaskan bahawa mereka akan fokus kepada isu-isu yang dipersetujui bersama.
"Kenapa harus kita menimbulkan isu-isu yang tidak ada konsensus? Keputusan kita berdasarkan konsensus. Kita akan fokus kepada agenda bersama," katanya.
Anwar juga memberitahu mereka belum membuat keputusan mengenai logo Pakatan kerana tidak ada perkembangan lanjut tentang permohonan PR untuk mendaftar sebagai sebuah parti politik dan Pendaftar Pertubuhan tidak mempeduli hal ini.
Abdul Hadi berkata Pakatan akan melangkah ke hadapan dari resolusi-resolusi yang telah dipersetujui bersama pada konvensyen pertama pada Disember tahun lalu di Shah Alam.
Penasihat DAP Lim Kit Siang berkata konvensyen kali ini adalah penting sebagai usaha Pakatan untuk menghadapi pilihan raya umum, yang akan diadakan bila-bila masa tahun depan.
Sementara itu, PR dijangka akan mengumumkan manifesto pra pilihan raya pada konvensyen kedua di Dewan Millenium, Kepala Batas Ahad depan.
Pengarah konvensyen, Dr Mujahid Yusof Rawa berkata konvensyen kali ini yang bertemakan "Berubah Sekarang", di antara lain akan menyentuh mengenai persiapan menghadapi pilihan raya umum.
"Mereka akan bercakap mengenai perkara dasar dan hala tuju masa depan," katanya yang juga Ahli Parlimen Parit Buntar, menambah, lebih 2,500 ahli dari seluruh negara dijangka hadir pada konvensyen sehari itu.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan