Jumaat, 10 Disember 2010

Inkues kematian Teoh berakhir Jumaat ini


MALAYSIA KINI

Selepas hampir satu setengah tahun, inkues kematian Teoh Beng Hock dijangka berakhir Jumaat ini, apabila ketiga-tiga pihak terbabit mengemukakan hujah masing-masing.

Mereka ialah Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), keluarga Teoh dan kerajaan Selangor.

Dalam jawapannya melalui mesej teks, ketua pendakwaraya SPRM, Abdul Razak Musa (kiri) berkata, ketiga-tiga pihak akan mengemukakan hujah mereka di hadapan koroner Azmil Muntapha Abas.

Bagaimanapun, peguam yang mewakili keluarga Teoh, Gobind Singh Deo, berkata hujah bertulis mesti dikemukakan hari ini.

Ekoran itu, koroner dijangka mengambil masa untuk meneliti hujah-hujah yang dikemukakan, sebelum membuat keputusan.

NONEInkues tersebut bermula pada 29 Julai tahun lalu, selepas protes besar-
besaran berhubung keraguan mengenai kematian Teoh selepas disoalsiasat di ibupejabat SPRM Selangor di Plaza Masalam di Shah Alam pada 18 Julai.

Mayatnya dijumpai di tingkat lima bangunan tersebut pada hari berikutnya. Teoh berada di ibupejabat SPRM di tingkat 14, sebelum kematiannya.

Teoh dipanggil untuk membantu siasatan terhadap bosnya - exco kerajaan Selangor, Ean Yong Hian Wah - yang dituduh menyalahgunakan dana.

Sepanjang inkues tersebut berjalan, ahli patolog kerajaan mendakwa tidak ada unsur jenayah, tetapi ahli patologi Thailand, Dr Pornthip Rojanasunand yang mewakili kerajaan Selangor, mendakwa sebaliknya.

Setelah meneliti laporan bedahsiasat kedua, Pornthip berpendapat ada bukti berlaku kecederaan sebelum Teoh jatuh dari bangunan itu, dan beliau pasti yang Teoh tidak membunuh diri.

Tiada ulasan: