Khamis, 16 Disember 2010

Bekas hakim didenda, jel 19 tahun


SINAR HARIAN ONLINE


IPOH – Mahkamah Sesyen Ipoh, semalam menjatuhkan hukuman penjara 19 tahun dan denda RM210,000 terhadap bekas Hakim Mahkamah Tinggi Syariah, Basuri@Hassan Basri Markum@Shapie, 56, atas tujuh pertuduhan antara Ogos 2006 dan September 2007.

Bagaimanapun, tertuduh hanya dikenakan penjara 10 tahun setelah hakim, Tan Hooi Leng memerintahkan empat daripada tujuh tuduhan itu dijalankan serentak.

Namun, tertuduh bakal berdepan penjara tambahan selama 42 bulan sekiranya gagal melunaskan bayaran denda itu semalam.

“Setelah berpuas hati dengan hujahan kedua-dua belah pihak, pihak pendakwa berjaya membuktikan keraguan dan mendapati tertuduh bersalah atas semua tuduhan yang dikemukakan,” katanya.

Dalam semua tuduhan yang dihadapi, Hassan Basri, didakwa meminta dan menerima suapan daripada individu yang sama iaitu Mohamad Imran Abdullah yang bertindak sebagai orang tengah bagi ‘menyelesaikan’ satu kes membabitkan seorang pengusaha pusat hiburan dan dua kes poligami.

Pertuduhan pertama, tertuduh meminta suapan RM3,000 daripada Mohamad Imran Abdullah sebagai dorongan melepaskan wang ikat jamin kepada Yoong Hor Kit berhubung lima kes jenayah pada 15 Ogos 2007 kira-kira jam 8.15 malam di Restoran Wawa, Tambun.

Tertuduh juga menerima suapan RM3,000 daripada individu sama sebagai dorongan melepaskan wang ikat jamin kepada Yoong Hor Kit berhubung lima kes jenayah. Tertuduh melakukan kesalahan itu dalam sebuah kereta di tempat letak kereta Taman DR Seenivasagam pada 6 September 2007 kira-kira jam 3.25 petang.

Pertuduhan ketiga, pada 7 Ogos 2006, kira-kira jam 8.30 malam, tertuduh meminta suapan RM20,000 daripada Yoong Hor Kit melalui Mohd Sharif Abdul Ghani sebagai dorongan memulangkan wang ikat jamin berhubung lima kes jenayah di Bangunan Persatuan Menembak Perak.

Pertuduhan keempat, pada 9 Ogos 2006 kira-kira jam 11 malam di bangunan yang sama, tertuduh menerima suapan bernilai RM10,000 daripada Yoong Hor Kit sebagai dorongan meringankan hukuman dan memulangkan wang ikat jamin berhubung lima kes jenayah.

Pertuduhan kelima, tertuduh meminta suatu suapan berjumlah RM1,100 daripada Mohamad Imran Abdullah pada 15 Ogos 2007 kira-kira jam 8.30 malam di Restoran Wawa, Tambun sebagai dorongan membantu Mohamad Asri Abu Bakar berkahwin dengan Nor Farihan Hassan tanpa melakukan prosedur yang ditetapkan.

Pertuduhan keenam, tertuduh pada 17 Ogos 2007, kira-kira jam 6.00 petang dalam sebuah kereta di tepi Hotel hill City secara rasuah menyetuju terima suapan wang RM1,100 daripada individu sama sebagai dorongan mengeluarkan surat perintah kebenaran berkahwin kepada Mohammad Asri Abu Bakar berkahwin dengan Nor Farihan Hassan tanpa melalui prosedur ditetapkan.

Pertuduhan terakhir, tertuduh bersetuju menerima suapan RM1,100 daripada individu sama sebagai dorongan untuk mengeluarkan surat perintah kebenaran berkahwin kepada Mohd Jefri Afandi Ahmad berkahwin dengan Nur Liza Musa kira-kira jam 3.20 petang di dalam sebuah kereta di tempat letak kereta Taman DR Seenivasagam pada 6 September 2007.

Tiada ulasan: