PUTRAJAYA – Menteri Pengangkutan Datuk Seri Kong Cho Ha hari ini menjelaskan bahawa bas yang terbabit dalam kemalangan di Cameron Highlands pada Isnin lepas diistilahkan sebagai bas ‘‘high-decker’’ dan bukannya bas dua tingkat.
“Sesebuah bas ‘high-decker’ mempunyai satu tingkat untuk penumpang dan tingkat yang lebih rendah untuk menyimpan bagasi. Biasanya ia merupakan bas persiaran.
“Bas jenis ini juga lebih tinggi daripada bas biasa tetapi bukanlah sama tinggi dengan bas dua tingkat,” katanya kepada pemberita di pejabatnya di sini.
Ditanya sama ada bas ‘high-decker’ sesuai digunakan di jalan raya yang berbukit-bukit, Kong berkata ia bergantung sama ada semua keperluan telah pun dipenuhi.
“Bagi kenderaan ini, selagi ia mematuhi semua keperluan dan spesifikasi teknikal yang diperlukan, kenderaan itu boleh digunakan di mana-mana sahaja jalan raya di negara ini,” katanya.
Dalam kemalangan dua hari lepas, bas yang membawa 37 penumpang itu merempuh pembahagi jalan dan terbalik di jalan Cameron Highlands-Simpang Pulai, mengorbankan 25 pelancong rakyat Thai dan dua warga Malaysia, iaitu masing-masing pemandu bas dan pemandu pelancong.
Sepuluh pelancong Thai pula cedera.
Dalam pada itu, mayat 25 pelancong Thai yang terbunuh dibawa pulang dengan dua pesawat C-130 Tentera Udara Diraja Thailand hari ini.
Kedua-dua pesawat itu berlepas dari Pangkalan TUDM Subang di sini pada 5 petang tadi.
Seorang daripada 10 pelancong Thai yang cedera dalam kejadian itu juga dibawa pulang ke Bangkok menerusi penerbangan itu.
Kesemua mayat itu dibawa dengan sebuah treler dan sebuah van dari Hospital Raja Permaisuri Bainun di Ipoh dan tiba di Subang pada 3.30 petang.
Tiga mangsa yang cedera dibawa dengan ambulans ke Bukit Kayu Hitam hari ini untuk dihantar ke Haadyai manakala enam lagi masih menerima rawatan di Ipoh.
Kemalangan terburuk dalam sejarah negara itu turut mengorbankan pemandu bas dan pemandu pelancong, kedua-dua warga Malaysia.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan