Isnin, 8 November 2010

Tsu Koon janji lebih tegas, mahu guna ‘kung fu mentadak’

BERNAMA


Koh berkata beliau sudah mampu ‘berkeras’ apabila perlu berbuat demikian. — gambar fail

KUALA LUMPUR — Presiden Gerakan Tan Sri Dr Koh Tsu Koon hari ini berjanji akan lebih tegas dalam segala tindakan dan pandangannya terhadap sesuatu isu, yang sebelum ini dilihat anggota parti sebagai terlalu lemah lembut.

Mengibaratkan kepimpinannya sebelum ini seperti kung fu “tai chi” yang lemah lembut, Koh berkata beliau akan menggunakan seni mempertahankan diri yang lebih keras iaitu kung fu “mentadak”.

“Saya mungkin terlalu tai chi kerana saya belajar kung fu ini sejak umur sembilan tahun. Tetapi sekarang, saya telah belajar kung fu ‘mentadak’ yang mana adik saya merupakan jurulatih kepada saya.

“Maka saya boleh menjadi ‘keras’ pada masa yang diperlukan kerana ia merupakan satu jenis kung fu yang nampak ‘keras’, katanya semasa menggulung perbahasan pada Persidangan Perwakilan Nasional Gerakan ke-39 di sini.

Bagaimanapun, Koh berkata cara yang terlalu keras berkemungkinan besar akan membawa kesan negatif terhadap parti itu.

“Misalnya, sifat angkuh seperti Presiden Parti Maju Sabah (SAPP), Datuk Yong Teik Lee menyebabkan beliau tewas di dalam pilihan raya kecil Batu Sapi.

“Sehubungan itu, kita perlu tahu mendapat keseimbangan supaya bertindak lembut atau keras dalam masa memerlukannya,” katanya.

Tiada ulasan: