Selasa, 2 November 2010

Tinjauan – rakyat tak tahu EPP, ETP


investmentOleh Jamilah Kamarudin

PETALING JAYA: Pelan Transformasi Ekonomi (ETP) yang diumumkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak bagi ‘mentransformasikan’ Malaysia menjadi sebuah negara berpendapatan tinggi menjelang 2020 melalui pelaburan sudah pun dilancarkan sejak 25 Oktober lalu.

Mempertaruhkan peruntukan berjumlah AS$444 bilion (RM1.4 trilion) bagi mencapai matlamat ETP dalam masa 10 tahun akan datang,

Najib berkata sebanyak 131 projek titik permulaan (EPP) berpotensi sudah dikenal pasti bagi merealisasikannya.

Namun disebalik pelaburan jangka panjang yang membabitkan ratusan juta, masih ramai lagi yang merasa ragu adakah ia mampu membawa manfaat kepada rakyat Tinjauan FreeMalaysiaToday juga mendapati kebanyakan rakyat golongan marhaen masih lagi terpinga-pinga dengan pengumuman Najib itu, malah ada yang tertanya adakah ia mampu memberi manfaat kepada mereka tanpa menguntungkan sebelah pihak sahaja.

Norul Akma Mohd Zain, 24, pekerja swasta

"Kurang pasti. Apa yang saya tahu ETP itu Pelan Transformasi Ekonomi tapi tidak tahu apa matlamat dan kandungannya. Mungkin pihak kementerian yang terlibat perlu buat satu promosi atau hebahan maklumat kepada orang awam supaya semua lapisan rakyat tahu apa agenda kerajaan yang sebenarnya."

Syafiq Redzuan, 24, graduan

"Bagi orang biasa yang tidak faham dengan terma ekonomi mungkin rasa janggal dengan ETP. Bahkan banyak program sebegini mengaburi mata rakyat yang hanya percaya kepada pembangunan.

"Pada golongan yang kurang mengerti ini pembangunan itu dikira bagus dan negara sudah dianggap maju. Namun sejauh mana pelaksanaannya? Jika Dasar Ekonomi Baru (DEB) pun sehingga sekarang tidak mampu merapatkan jurang antara kaum apa jaminannya ETP ini boleh dipercayai?"

"Jika program dan projek pembangunan ini dilaksanakan dengan telus tanpa tangan ‘ghaib’ tak mustahil negara akan maju."

Norashikin Ariff, 24, kerani

"Maaf saya langsung tidak tahu apa itu EPP atau ETP. Mungkin maklumat program sebegitu tidak sampai kepada golongan pekerja seperti kami.

"Tapi saya masih meletakkan harapan agar pemimpin kerajaan mampu melonjakkan negara menjadi sebuah negara maju tanpa membebankan rakyat. Harga petrol seringkali naik dan kini sudah naik 5 sen menjadi RM2.15. Sudah pasti golongan seperti saya yang berpendapatan rendah akan terbeban. "

Farazila Alias, 26, pekerja awam

"Saya tidak setuju sama sekali apabila ada mendapat tahu salah satu projek dalam ETP ini adalah mewujudkan hab hiburan atas alasan mahu menarik lebih ramai pelancong dan pelabur ke Malaysia.

"Kita tidak mahu matlamat manghalalkan cara lebih-lebih lagi Malaysia termaktub dalam Perlembagaan adalah sebuah negara Islam.

Mungkin pemimpin merasakan negara akan maju tapi saya berpendapat pembangunan modal insan akan terus mundur malah moral masyarakat akan terus runtuh akibat impak budaya negatif yang wujud daripada hiburan."

Hilman Idham, 22, pelajar

"Saya tidak faham malah berasa ragu-ragu dengan ETP. Kerajaan kata ETP mampu mewujudkan 3.3 juta pekerjaan tambahan namun hakikatnya kemajuan melalui projek pembangunan hanya satu retorik.

"Sebagai seorang pelajar institusi pengajian tinggi yang bakal menamatkan pengajian tahun depan, apa yang lebih membimbangkan adalah kestabilan ekonomi negara kerana ia faktor penting kewujudan peluang pekerjaan khususnya kepada graduan yang tidak berpengalaman.

"Saya juga kesal kerana ETP ini tidak menjadikan sektor pertanian sebagai salah satu asas penting tetapi lebih mementingkan pembangunan hiburan yang jelas akan mengundangkan gejala sosial dan terus meruntuhkan akhlak masyarakat."

Tiada ulasan: