Selasa, 2 November 2010

Isu sembahyang dua Imam dibangkitkan di Galas


galasOleh Muda Mohd Noor

GALAS: Isu sembahyang dua Imam yang pernah menggegarkan Terengganu pada sekitar tahun 1980an kini dibangkitkan semula dalam kempen pilihan raya kecil DUN Galas.

Isu tersebut dibangkitkan oleh Menteri Besar Terengganu, Datuk Ahmad Said ketika membantu calon Barisan Nasional (BN), Abdul Aziz Yusof di Bandar Baru Gua Musang di sini petang semalam.

Dalam ceramah kira-kira 20 minit, Ahmad juga mendakwa PAS adalah Parti Ajaran Sesat.

"Dia (PAS) dulu kata masjid tidak boleh pakai (guna) tetapi kalau tidak boleh pakai kena robohlah. Tapi masa PAS Terengganu pada tahun 1999 hingga 2004, dia tidak buat satu masjid pun," katanya di depan kira-kira 200 pendengar.

Isu sembahyang dua Imam yang berlaku di Terengganu menyebabkan perpecahan di kalangan umat Islam di negeri pantai timur itu.

Sembahyang dua Imam yang dimaksudkan ialah solat dua Imam – seorang Imam Umno dan seorang lagi Imam PAS dalam sebuah masjid banyak berlaku di daerah Marang dan Besut.

Dalam ceramahnya itu, Ahmad juga mendakwa pemimpin PAS memutar belitkan fatwa agama Islam, semata-mata kerana mahu berkuasa.

Tiada ulasan: