Isnin, 15 November 2010

Suspek tetak: Polis Pahang buru bekas tentera Azli Che Omar

BERNAMA

KUANTAN – Polis Pahang sedang mengesan seorang bekas tentera yang dikenali sebagai Azli Che Omar bagi membantu siasatan berhubung kes tiga mangsa termasuk seorang kanak-kanak ditetak baru-baru ini.

Bekas anggota tentera berusia 30 tahun itu beralamat terakhirnya di No 143-B, Belukar Sukai, Kuala Terengganu, Terengganu.

Menurut Pegawai Turus Urus Setia Jabatan Siasatan Jenayah Pahang, ASP Noor Asyikin Shamsuri, seorang remaja Nurul Hanees Syazwani Mohammad, 17, berasal dari Johor Bahru yang dipercayai isteri kepada Azli turut dicari bagi membantu siasatan.

“Azli dipercayai suspek kes tetak berkenaan, suspek terbabit pernah bertugas sebagai anggota tentera tetapi melarikan diri dari Kem Sungai Udang, Terendak, Melaka pada 14 Januari 2003,” katanya kepada pemberita di sini.

Pada Sabtu lepas, seorang lelaki menetak sepasang suami isteri dan seorang kanak-kanak berusia tiga tahun dengan pedang samurai sehingga cedera parah di tingkat satu, blok D, Flat Alor Akar, di sini.

Suspek dipercayai tidak berpuas hati dengan pasangan suami isteri itu yang didakwanya telah melarikan isterinya.

“Orang awam yang mempunyai sebarang maklumat berhubung suspek berkenaan diminta menghubungi Ibu Pejabat Polis daerah Kuantan (IPD) di talian 09-5132222 atau mana-mana balai polis berdekatan,” katanya.

Tiada ulasan: