Jumaat, 19 November 2010

Sukan Asia: Malaysia kemarau hari ke-7 tanpa pingat

BERNAMA


Permainan Lee Chong Wei akan menjadi tumpuan Malaysia pada hari kelapan. — Foto Reuters

GUANGZHOU — Harapan Malaysia untuk menambah kutipan pingat semalam tidak kesampaian selepas acara boling, satu-satu harapan kontinjen negara untuk meraih pingat pada hari ke-tujuh Sukan Asia ke-16, gagal berbuat demikian.

Malaysia kekal dengan kutipan tiga emas, tiga perak dan empat gangsa untuk menduduki tangga ke-10 dalam carta kutipan pingat keseluruhan.

Tuan rumah China terus unggul dengan kutipan 109 emas, 47 perak dan 47 gangsa, diikuti Korea Selatan (37, 30, 42) dan Jepun (21, 45, 40).

Kontinjen negara mendapat tiga pingat emas daripada Chai Foong Ying (wushu), Mohd Azizulhasni Awang (berbasikal), Alex Liew dan Andrian Ang (boling), tiga perak daripada Ibrahim Amir (Sukan Biliard), Josiah Ang (berbasikal), Quzandria Nur Mahamd Fathil (ekuestrian).

Empat gangsa daripada Nur Suryani Mohamed Taibi (menembak), Mohd Qabil, Quzandria Nur, Putri Alia Soraya Ahmad Shuhaimi dan Diani Lee Cheng Ni (ekuestrian), Tai Cheau Xuen (wushu) dan Mohd Qabil Ambak Mahamad Fathil (ekuestrian).

Dalam acara boling hari ini, harapan untuk meraih pingat daripada pemain berpengalaman Shalin Zulkifli dan Esther Cheah tidak menjadi apabila mereka sekadar menduduki tempat ke-13 dalam acara beregu wanita.

Perenang-perenang negara juga gagal memberi sebarang pingat ketika acara renang menutup tirai hari ini dan harapan kini digalas oleh penerjun negara iaitu Pandelela Rinong, Leong Mun Yee, Yeoh Ken Nee dan Bryan Nickson Lomas apabila acara terjun bermula pada Isnin.

Bagaimanapun, beberapa keputusan melibatkan atlet negara untuk melangkah ke saingan seterusnya menceriakan sedikit suasana di kem negara.

Pemain skuasy wanita nombor satu dunia, Datuk Nicol Ann David dan Low Wee Wern melangkah mara ke peringkat suku akhir dalam acara perseorangan wanita.

Selepas memenangi kejohanan Qatar Classic minggu lepas, Nicol mengambil masa hanya 26 minit untuk menewaskan pemain Korea Selatan Park Eun Ok, 11-3, 11-7 dan 11-6 untuk mara ke peringkat suku akhir.

Dalam pertembungan suku akhir nanti beliau akan berentap dengan pemain dari India, Dipika Rebecca Pallikal.

Sementara itu Wee Wern, yang muncul buat kali pertama dalam Sukan Asia, menewaskan pemain Jepun Chinatsu Matsui straight set 12-10, 11-4 dan 11-8 dalam masa 30 minit.

Beliau akan berentap dengan seorang lagi pemain India, Joshna Chinappa dalam satu lagi pertembungan peringkat suku akhir.

Dalam acara individu lelaki, juara bertahan dari edisi Doha, empat tahun lepas, Ong Beng Hee dan rakan senegara Mohd Azlan Iskandar melangkah ke saingan suku akhir selepas menewaskan lawan masing-masing.

Beng Hee menumpaskan pemain Jepun Yuta Fukui 11-2, 11-7 dan 11-5 dan akan bertemu Abdullah Almezayenan dari Kuwait, manakala Mohd Azlan mengalahkan Lee Nyeon Ho dari Korea Selatan 11-1, 11-9, 11-7 dan akan menentang Lee Ho Yin dari Hong Kong.

Pasukan hoki lelaki terlepas peluang untuk menundukkan juara bertahan, Korea apabila kedua-dua pasukan terikat 2-2 dalam perlawanan Kumpulan A Hoki Lelaki.

Hari ini, hari kelapan temasya, tumpuan terarah kepada Datuk Lee Chong Wei yang akan menentang pemain Thailand, Boonsak Ponsana dalam acara individu.

Pada acara berpasukan minggu lepas, pemain Thailand itu menewaskan pemain nombor satu dunia itu dalam “rubber-set” dan Malaysia juga tersingkir daripada pusingan kedua selepas tewas 2-3 kepada pasukan negara jiran itu

Tiada ulasan: