Isnin, 15 November 2010

Pengakuan kasyaf Nor Idris dianggap sesat

Hafiz Irwan

KOTA BHARU: Pelbagai pihak menyifatkan bekas Ketua Penerangan Umno Kelantan, Ustaz Mohd Nor Idris yang mendakwa dirinya sebagai kasyaf sebagai sesat.

Timbalan Ketua Dewan Ulamak PAS Pusat, Datuk Ahmad Yakob menyifatkan kenyataan pemimpin Umno boleh diketawakan orang yang waras.

“Sahabat yang termasyhur di zaman Rasulullah saw tidak pernah mengakui diri mereka kasyaf.

"Sejarah mencatat seorang sahabat bernama Uwais Al-Qarni mempunyai kelebihan spiritual sehingga baginda menyuruh Saidina Omar meminta ulama itu berdoa.

"Tak tahulah saya kalau Ustaz Nor boleh mengaku diirinya kasyaf secara terbuka," katanya sebagai mengulas pengakuan pemimpin Umno terbabit yang disebarkan melalui facebook baru-baru ini.

Pada kenyataan melalui laman tersebut Ustaz Nor memberitahu enggan bersalam dengan Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Dato’ Nik Abdul Aziz Nik Mat kerana menganggap tangan Menteri Besar sebagai syaitan.

Ketika kempen pilihan raya kecil Dun Galas baru-baru ini Ustaz Nor juga menengking keras Tuan Guru Nik Abdul Aziz ketika kunjungan Menteri Besar ke rumah bekas Adun Galas, Omar Mohamad di RPT Sungai Terah.

Ahmad yang juga Timbalan Menteri Besar Kelantan berharap orang ramai tidak terpengaruh dengan pengakuan kasyaf Ustaz Nor yang dianggap sebagai sesat.

Beliau juga mempertikaikan tulisan Awang Selamat dalam ruangan Bisik-Bisik Mingguan Ahad lalu yang mengangggap Tuan Guru Nik Abdul Aziz enggan bersalam dengan Ustaz Nor.

“Sedangkan perkara sebenar yang berlaku ketika Menteri Besar menghulur tangan untuk bersalam, Ustaz Nor enggan kerana menganggap tangan pemimpin PAS itu ada syaitan,” katanya.

Oleh itu beliau berharap pengarang akhbar terbabit lebih beretika dalam setiap tulisan dan bukannya menjadi jaguh menyebarkan fitnah.

Anggota Exco kerajaan negeri, Dr Mohamed Fadzli Hassan berkata, Utusan sebagai lidah rasmi Umno sekali lagi cuba memfitnah Menteri Besar Kelantan dengan menyebarkan kenyataan yang tidak berasas.

Katanya, gambaran yang diberi kononnya Tuan Guru Nik Abdul Aziz enggan bersalam dengan Ustaz Nor jauh menyimpang jauh terhadap perkara sebenar yang berlaku.

“Mengapa pengarang terbabit cuba menyembunyikan perkara sebenar apabila seorang menteri besar dimaki hamun di hadapan orang ramai ketika berkunjung ke rumah seorang pemimpin bekas Semangat 46.

“Ramai menjadi saksi kepada sikap gelojoh dan tidak beradab yang ditunjukkan Ustaz Nor. Semua rakyat di Kelantan tahu cerita sebenar dan Utusan tidak mampu untuk menyembunyikan,” katanya.

Menurutnya Utusan perlu membetulkan dan memohon maaf secara terbuka kepada Menteri Besar Kelantan.

Kata beliau sekiranya akhbar terbabit terus berdegil tindakan selanjutnya termasuk mendapatkan keadilan di mahkamah.

Ketua Penerangan Dewan Pemuda PAS Kelantan, Ahmad Fadhli Shaari berkata, serangan Utusan sengaja dilontarkan akhbar terbabit dengan harapan dapat menjatuhkan karier politik Tuan Guru Nik Abdul Aziz.

“Semua itu kerja sia-sia belaka, prinsip Tok Guru tidak pernah tunduk pada sebarang tekanan. Malah ini bukan satu perkara baru bagi Tok Guru. Selama 20 tahun memerintah Kelantan sudah terlalu banyak pengalaman pahit manis dilaluinya.

“Saya tidak nampak rasional atau apa untungnya di sebalik serangan itu. Bahkan, seringkali tuduhan mahupun tomahan terhadapnya akan menambah kuatkan lagi semangat Mursyidul Am,” katanya.

Beliau juga berharap Awang Selamat jangan berselindung di sebalik nama murahannya untuk melacurkan pena wartawan demi kepentingan perut semata-mata.

11 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

Kita tidak tahu siapa yang betul dan salah dalam hal ini. Mungkinkah nik aziz atau Nor. Kerana kita tidak nampak dengan mata kita sendiri dengan masalah ini.

madd berkata...

saya setuju dengan kharul. tidak tahu siapa yang betul. kepada mana-mana pihak pun berpolitiklah dengan bersih.

mandau berkata...

sebaiknya mereka berdua berbaik semula. sikap hormat dan saling mengasihi perlu ada dalam diri.

Antanum berkata...

Tidak ada gunanya kita menjatuhkan sesama sendiri. Kita tidak akan pernah lebih baik dari orang lain kerana kita juga manusia!

Anak Sabah berkata...

Pengakuan seperti ini memang akan mengundang kritikan. Sebaiknya tidak membuat kenyataan sebarangan.

Anak Sabah berkata...

Perkara seperti ini yang melibatkan agama sememangnya sensitif. Kenalah berhati-hati jika mahu membincangkannya.

nickko berkata...

pengakuan itu dikatakan tersebar luas di laman sosial Facebook. terdesak nak menyerang, media PAS kutip berita yang belum tentu sahih ini untuk menghentam Nor Idris cukup2. belum pun mendapat kepastian dari yang empunya badan, PAS sudah melemparkan tuduhan yang bukan2. apa jenis keadilan yang PAS pakai sehingga sanggup menuduh pihak lain hanya berdasarkan andaian2..

nickko berkata...

sementara tuduhan kasyaf ke atas Nor Idris itu masih belum pasti, yang Nik Aziz terang2 janji syurga dan neraka kenapa orang PAS tidak gelarnya sebagai sesat? kalau nak ikutkan itu lebih sesat pasal Nik Aziz janji benda yang bukan kuasa dia untuk tentukan..

Tanpa Nama berkata...

mungkin penyokong PAS akan kata UMNO tipu, dan sebaliknya juga. Bagi saya, kalau UMNO yang salah, mengaku saja, malu tetap malu, tapi bertanggungjawab sajalah tidak perlu Utusan untuk putar belit cerita. tapi kalau PAS yang bersalah dalam hal ini, PAS juga 2x5.

Paquin berkata...

Biar Tuhan yang hakimi perkara ni :)

Paquin berkata...

Sebagai pemerhati, kita lihat sajalah apa yang berlaku nanti.