Rabu, 24 November 2010

MB Pahang: Projek saluran air ke S'gor ikut jadual

BERNAMA

Projek penyaluran air mentah Pahang ke Selangor berjalan lancar dan dijangka siap sepenuhnya pada Mei 2014, kata Menteri Besar Pahang Datuk Seri Adnan Yaakob.

Beliau berkata kemajuan projek sehingga akhir Oktober lepas adalah sebanyak 17 peratus.

pahang selangor raw water transfer project 180209"Kesemua komponen projek telah ditender di mana dua komponen projek telah ditawarkan dan kini dalam pelaksanaan, manakala dua lagi komponen projek dijangka akan ditawarkan pada penghujung tahun ini," katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Datuk Dr Ng Keong Chye (BN-Ketari) mengenai perkembangan projek berkenaan pada persidangan Dewan Undangan Negeri Pahang di Kuantan hari ini.

Adnan berkata dua komponen projek berkenaan iaitu pembinaan terowong penyaluran air dan kerja-kerja berkaitan, dan pembinaan muka sauk, rumah pam dan kerja-kerja berkaitan berjalan lancar dan mengikut jadual yang ditetapkan.

Dua lagi komponen projek iaitu pembinaan empangan Kelau dan kerja-kerja berkaitan, dan pembinaan saluran paip dan kerja-kerja berkaitan dijangka dilaksanakan hujung tahun ini.

Sementara itu ketika menjawab soalan Datuk Aziz Mat Kiram (BN-Batu Talam) mengenai pembalakan haram di Pahang yang dilihat masih berterusan, Adnan berkata kerajaan negeri sentiasa memandang serius jenayah berkenaan.

orang asli anti logging protest in pahang 170406 logs"Jabatan Perhutanan sentiasa menjalankan kerja-kerja penguatkuasaan undang-undang di semua daerah melalui perundangan Akta Perhutanan Negara 1984," kata Adnan.

Beliau berkata antara langkah yang diambil ialah penubuhan pasukan penguatkuasaan hutan di peringkat negeri dan daerah, mengadakan rondaan di kawasan sensitif termasuk menggunakan helikopter, dan menggunakan teknologi terkini bagi mengesan kegiatan mencuri balak.

"Pejabat Tanah dan Galian bersama pejabat Daerah dan Tanah juga bercadang mewujudkan zon penguatkuasaan dan pasukan petugas khas di samping mengingatkan semua penghulu di daerah mengenai peranan mereka sebagai pemberi maklumat," katanya.


Tiada ulasan: