Ahad, 14 November 2010

Lim sedia batal arahan MMC-Gamuda henti kerja jika puas hati alasan

THE MALAYSIAN INSIDER


Banjir teruk di kawasan utara terdahulu dikaitkan dengan projek landasan kembar. — gambar fail

KUALA LUMPUR — Kerajaan negeri Pulau Pinang bersedia untuk mengadakan pertemuan dengan Menteri Pengangkutan Datuk Seri Kong Cho Ha bagi membincangkan arahan henti kerja yang dikenakan ke atas MMC-Gamuda JV Sdn Bhd, pemaju projek landasan berkembar, dua hari lalu.

“Saya bersedia untuk mendengar penjelasan Datuk Seri Kong.

“Jika Datuk Seri Kong dapat memuaskan (dengan penjelasan), saya bersedia untuk mengesyorkan agar arahan henti kerja ke atas kontraktor MMC-Gamuda JV ditarik balik dengan segera,” kata Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng dalam satu kenyataan yang dikeluarkan hari ini.

“Saya akan menunggu laporan mereka sebelum memutuskan sama ada dan bila untuk menarik balik arahan henti kerja,” kata Lim lagi.

Lim berkata, beliau juga kesal kerana kini Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Datuk Chor Chee Heung menafikan pernah mengatakan yang projek itu menyebabkan masalah banjir.

Kelmarin, kerajaan negeri mengeluarkan arahan itu ekoran kenyataan Chor dan Menteri Besar Kedah Datuk Seri Azizan Abdul Razak bahawa banjir besar baru-baru ini antara lain ekoran projek tersebut.

Kerajaan negeri Pulau Pinang mengarahkan MMC-Gamuda JV memberhentikan dengan segera kerja projek landasan kereta api berkembar Ipoh ke Padang Besar melibatkan tanah di negeri itu bagi mengelak banjir.

Mesyuarat exco kerajaan negeri membuat keputusan agar kerja projek itu dihentikan sehingga syarat baru yang ditetapkan oleh kerajaan negeri dipenuhi.

Kerajaan negeri meminta MMC-Gamuda JV bersedia untuk memecahkan apa-apa landasan yang dibina supaya air tidak akan bertakung dan bertanggungjawab untuk menanggung segala kos kewangan akibat banjir.

“Kami berharap MMC-Gamuda JV dapat memberikan satu jaminan bertulis kepada pihak kerajaan negeri untuk memenuhi dua syarat baru yang ditetapkan,” kata Lim kelmarin.

MMC-Gamuda JV adalah kontraktor utama projek landasan kereta api berkembar sepanjang 329km yang dijangka siap awal 2013, membabitkan kos lebih kurang RM12.5 bilion.

Syarikat itu telah menafikan bahawa projek berkenaan adalah punca banjir di Kedah.

Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) pula menganggap langkah kerajaan negeri Pulau Pinang yang mahu projek itu dihentikan kerana mendakwa ia punca banjir di Kedah adalah tidak wajar dan tidak berasas.

KTMB berkata projek itu tidak menyumbang kepada banjir yang lebih kronik di Kedah mahupun seperti dikhuatiri di Pulau Pinang.

Laporan Jabatan Meteorologi menunjukkan hujan lebih dari luar biasa iaitu hampir sekali ganda direkodkan pada 2005 iaitu peningkatan paras air dari 119mm kepada 207mm, kata KTMB semalam.

KTMB dan MMC-Gamuda JV bagaimanapun akan mengaturkan perbincangan lanjut bersama wakil kerajaan negeri untuk mencari penyelesaian perkara berkenaan.

Tiada ulasan: