Khamis, 18 November 2010

Exco Kedah Akan Saman JKKP Yang Buat Fitnah Semasa Banjir Melanda Kedah

SEDAKA SEJAHTERA

ALOR SETAR - Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Kedah, YB. Dr. Ismail Salleh menegaskan akan mengambil tindakan mahkamah terhadap pihak yang memfitnah dirinya berhubung isu kononnya beliau menarik balik bantuan yang dihulurkan kepada mangsa banjir di Alor Selut kerana mangsa tersebut terdiri dari ahli-ahli Umno.

Kenyataan itu dibuat sewaktu beliau menggulung perbahasan Menjunjung Kasih Ke Atas Titah Ucapan Perasmian Sidang DUN Kedah dan telah mendapat tepukan meja yang gemuruh dari ADUN-ADUN Pakatan Rakyat.

Menurutnya, fitnah pertama telah disebarkan oleh Facebook Puteri Umno yang menyiarkan ucapan JKKKP Tok Keling menuduh beliau mengambil balik bantuan yang diberi kerana mangsa banjir ahli Umno.

"JKKKP ni, Azmi Md Isa dia duduk lima kilometer dari tempat kejadian dan dia pun tak ada di situ masa kejadian," ujarnya.

Apa yang berlaku, terangnya, ialah tempat yang dicadangkan untuk penempatan banjir itu hanya sebuah khemah serta tidak mempunyai apa-apa kemudahan asas.

"Saya berbincang dengan penghulu dan Jabatan Kebajikan masyarakat, akhirnya bersetuju untuk pusat penempatan di buat di surau berdekatan dan mereka tak benarkan buat dalam khemah tepi jalan tu," katanya. Begitu juga, katanya, JKKP Alor Selut turut bersetuju.

Selepas persetujuan itu, katanya, barang-barang yang diletakkan di situ dipindahkan ke surau dan ianya tiada kena mengena langsung kerana mangsa banjir ahli Umno. "Tidak timbul kami mengambil balik barang tersebut, kerana ianya belum diserah kepada sesiapa," katanya.

ADUN Pedu, Dato' Seri Mahdzir Khalid bangun mencelah apabila Dr. Ismail dalam ucapannya melahirkan rasa kesal terhadap bekas Menteri Besar yang memetik bahan fitnah untuk dibawa ke Sidang DUN. ADUN Bakar Bata, Dato' Ahmad Bashah Md Hanipah turut meminta laluan apabila Dr. Ismail 'melibas' Umno Bahagian Alor Setar dalam isu tersebut.

Tiada ulasan: