Jumaat, 19 November 2010

Dua MP Pakatan antara 17 bebas tuduhan sertai perhimpunan Bersih

TERKINI
THE MALAYSIAN INSIDER

KUALA LUMPUR — Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur hari ini membebaskan 17 orang termasuk dua Ahli Parlimen Pakatan Rakyat - Tian Chua dan N Gobalakrishnan daripada tuduhan menyertai perhimpunan tidak sah anjuran Gabungan Pilihan Raya bersih dan Adil (Bersih) tiga tahun lalu.

Turut dibebas tuduhan ialah ahli jawatankuasa kerja PAS pusat Mohamad Sabu.

Dalam keputusannya, Hakim Jagjit Singh berkata, pihak pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie bahawa perhimpunan itu haram dan wujud kecacatan dalam pertuduhan.

Perbicaraan itu mengambil masa tiga tahun.

Dalam pilihan raya yang diadakan lima bulan selepas perhimpunan itu, Chua dan Gobalakrishnan yang bertanding atas tiket PKR, masing-masing menang di kerusi Batu dan Padang Serai.

Antara lain hakim berkata pihak pendakwaan gagal untuk membuktikan bahawa tertuduh berada di tempat perhimpunan, malah kesemua 17 tertuduh sudah bersurai selepas diarahkan berbuat demikian.

Kesemua tertuduh didakwa menyertai perhimpunan haram yang diadakan di pelbagai lokasi di ibu negara termasuk Masjid Negara dan kompleks membeli-belah Sogo.

Perhimpunan Bersih 2007 telah diadakan pada 10 November 2007 dan tidak mendapat permit polis.

Ia dianjurkan oleh pertubuhan bukan kerajaan Bersih, yang turut disertai pelbagai parti pembangkang, yang bertujuan mahu menuntut pilihan raya yang adil.

Perhimpunan itu dilaporkan disertai oleh 100,000 orang.

Dalam memorandum tersebut, Bersih mengemukakan empat tuntutan iaitu penyemakan semula daftar pemilih yang lengkap demi memastikan segala kesalahan dan ketempangan yang sedia ada dapat dihapuskan, penggunaan dakwat kekal untuk menghalang pengundian berganda, pemansuhan sistem pengundian pos kecuali untuk para diplomat dan pengundi lain di luar negara dan akses media yang adil kepada semua pihak dalam pilihan raya supaya semua parti politik boleh menjelaskan dasar dan manifesto mereka kepada rakyat Malaysia.

Tiada ulasan: