Jumaat, 12 November 2010

Banjir kian pulih, 2,170 masih di pusat pemindahan

BERNAMA


Keadaan di kawasan-kawasan dilanda banjir di Kedah semakin pulih apabila bilangan mangsa yang dipindahkan terus berkurangan hari ini.

Jurucakap Bilik Gerakan Banjir Majlis Keselamatan Negara ketika dihubungi berkata jumlah keseluruhan mangsa yang masih berada di pusat-pusat pemindahan banjir sehingga 8 pagi ini berkurangan kepada 2,170 orang berbanding 5,103 orang petang semalam.

Di daerah Kota Setar, jumlah mangsa yang masih berada di pusat pemindahan ialah 486 orang daripada 174 keluarga dan di Kubang Pasu, 1,684 orang daripada 486 keluarga.

Jurucakap itu berkata sebanyak 11 pusat pemindahan masih dibuka, empat daripadanya di Kota Setar dan tujuh di Kubang Pasu.

Bersihkan rumah

Sementara itu, seramai 750 sukarelawan terdiri daripada belia dari Kedah, Pulau Pinang, Perak dan Negeri Sembilan turun ke Kedah dan Perlis bagi membantu mangsa banjir di negeri berkenaan.

Semalam mereka pergi ke Perlis dan hari ini membantu membersihkan rumah mangsa banjir di Kubang Pasu, Kota Setar dan Pokok Sena di Kedah.

Mereka dibekalkan peralatan seperti penyapu, mop dan plastik sampah yang disumbangkan Kementerian Belia dan Sukan.

Timbalan Ketua Setiausaha (Pengurusan) kementerian itu, Datuk Jamil Salleh, program yang dianjurkan bersama Majlis Belia Negara itu membabitkan anggota persatuan belia dan Rakan Muda berumur antara 15 dan 35 tahun.

Setiausaha Agung Majlis Belia Malaysia, Mohd Zaidi Aziz, berkata misi bantuan itu dilakukan sejak 1 November lalu dengan memberi bantuan keperluan harian kepada mangsa banjir.

Katanya, untuk misi kali ini, ia memfokuskan kepada membantu penduduk membersihkan rumah.

"Disebabkan sudah ramai sukarelawan lain yang membersihkan kawasan awam, jadi kita mengambil inisiatif untuk membersih rumah mangsa banjir bagi membantu meringankan beban mereka," katanya.

Kedah dan Perlis adalah yang teruk dilanda banjir kali ini. Hari ini, keadaan di kedua-dua negeri itu dilaporkan semakin pulih.


Tiada ulasan: