Selasa, 2 November 2010

Banjir di Perlis, penduduk diarah berpindah

FREE MALAYSIA TODAY

banjir 6KANGAR: Hujan lebat berterusan selama lebih 24 jam menyebabkan beberapa kawasan di utara Perlis dilanda banjir sejak malam tadi.

Sehingga 12.30 tengah hari ini, seramai 286 mangsa daripada 117 keluarga telah dipindahkan ke tiga pusat pemindahan.

Menurut jurucakap Bilik Gerakan Banjir Jabatan Kebajikan Masyarakat Perlis, pusat-pusat pemindahan dibuka di Sekolah Kebangsaan Batu Bertangkup, Sekolah Menengah Datuk Jaafar Hassan dan Dewan Orang Ramai Titi Tinggi Hilir.

Hujan masih turun di seluruh Perlis dengan pasukan penyelamat bersedia untuk memindahkan lebih banyak mangsa.

Tinjauan Bernama mendapati kerja-kerja memindahkan mangsa sedang dilakukan dan antara kawasan yang teruk terjejas ialah Titi Tinggi, Panggas dan Batu Bertangkup.

Beberapa batang jalan raya juga dinaiki air termasuk Jalan Kaki Bukit di kawasan Beseri dan Jalan Titi Tinggi.

Paras air meningkat

Kesemua enam pintu pelepasan air di Empangan Timah Tasoh telah dibuka ekoran paras air di empangan itu yang meningkat.

Sementara itu di Kelantan, Bernama melaporkan aras air Sungai Golok di Jenob, Tanah Merah dan Rantau Panjang kini dilaporkan berada di paras bahaya ekoran hujan lebat yang turun sejak dua hari lalu.

Menurut Pegawai Hidrologi Jabatan Pengairan dan Saliran Kelantan Shaari Harun, paras air di Jenob pada 11 pagi tadi berada pada paras 23.80 metern berbanding para bahaya 23.50 meter, dengan air dilaporkan semakin naik.

Di Rantau Panjang, bacaannya ialah 8.75 meter yang menghampiri paras bahaya 9 meter, katanya.

"Sehubungan itu penduduk diminta bersiap sedia untuk menghadapi kemungkinan banjir kerana air Sungai Golok mungkin melimpah pada bila-bila masa sahaja," katanya.

Hujan masih turun

Shaari berkata paras air sungai utama lain masih di paras biasa namun airnya semakin meningkat secara perlahan-lahan berikutan hujan masih turun.

Katanya ekoran hujan lebat, beberapa kawasan rendah seperti Pasir Tumboh, Penambang, Kubang Bemban, Berek 12 dan Pasir Hor mengalami banjir kilat sedalam 0.5 meter.

Namun tiada penduduk yang diarahkan berpindah setakat ini.

Shaari berkata pihaknya telah mula membuka Bilik Gerakan Banjir mulai awal pagi tadi bagi memantau keadaan.

Katanya hujan yang sesekali lebat dijangka terus melanda Kelantan sehingga esok.

Tiada ulasan: