Isnin, 1 November 2010

Azmin dahului Zaid, Mustaffa saingan timbalan presiden PKR

TERKINI

KUALA LUMPUR— Naib Presiden Azmin Ali kelihatan mula mengatasi saingan pada hari ketiga pengundian pemilihan pucuk kepimpinan Parti Keadilan Rakyat (PKR) yang berlangsung hari ini.

Setakat pukul 9 malam tadi, sementara keputusan enam cabang belum diketahui, Azmin yang juga Ahli Parlimen Gombak, dikatakan sudah mendahului saingan dengan kelebihan 529 undi.

Azmin, yang menerima pencalonan terbanyak sebelum ini, mengumpulkan 2,661 undi berbanding Datuk Zaid Ibrahim yang menerima 2,132 undi manakala seorang lagi naib presiden Mustaffa Kamil Ayub mendapat 958 undi.

Undi itu mengambil kira kedudukan semasa dan kelmarin.

Pada hari ketiga hari ini, Azmin memperoleh 1,133 undi ketika keputusan enam cabang belum diperoleh manakala Zaid pula menerima 626 undi dan Mustaffa pula 322 undi.

Sebelum ini, aliran undi yang diperoleh tiga calon berkenaan kelihatan bercampur-campur seperti yang disaksikan pada hari kedua pengundian semalam.

Terdahulu, berdasarkan kepada keputusan tidak rasmi yang diterima setakat 7 petang tadi, kedua-dua Azmin dan Mustaffa kelihatan memperoleh jumlah undi terbanyak di tiga cabang manakala Zaid menguasai empat cabang.

Zaid juga memperoleh undi terbanyak di Negeri Sembilan, yang menyaksikan dua cabang mengadakan pengundian hari ini.

“Setakat ini pengundian masih bercampur-campur seperti yang disaksikan semalam... mungkin kerana jumlah negeri yang mengadakan pengundian adalah banyak dan negeri-negeri besar,” kata seorang pemimpin yang mengikuti proses pengundian kepada The Malaysian Insider.

Setakat semalam, Zaid dikatakan mendahului Azmin dan Mustaffa tetapi persaingan sengit dilihat membabitkan Zaid dan Azmin.

Keputusan tidak rasmi diperoleh The Malaysian Insider menunjukkan Zaid telah mengumpulkan 1,552 undi manakala Azmin pula 1,509 dan Mustaffa 636 — jumlah undi sepanjang dua hari pertama pengundian pemilihan pusat dilangsungkan.

Ini kali pertama PKR mengadakan sistem pemilihan secara langsung membolehkan kaedah satu ahli satu undi digunakan.

Pun begitu, Azmin memperoleh undi terbanyak semalam iaitu 1,008 berbanding Zaid 974 manakala Mustaffa 572.

Pada hari pertama kelmarin, Zaid menerima 577 undi, Azmin 374 dan Mustaffa 61.

Bagi kerusi naib presiden, empat calon yang memperoleh undi terbanyak pada hari pertama masih berada di depan dalam saingan membabitkan seramai 17 calon.

Mereka ialah Ahli Parlimen Lembah Pantai Nurul Izzah Anwar, Pengarah Pilihan Raya PKR Fuziah Salleh, Pengarah Strategi PKR Tian Chua dan Timbalan Ketua Menteri I Pulau Pinang Datuk Dr Mansor Othman.

Setakat semalam 41 cabang telah mengadakan pengundian manakala 27 cabang lagi hari ini.

Tiga cabang di Melaka iaitu Masjid Tanah, Alor Gajah dan Tangga Batu, dua di Negeri Sembilan (Rembau dan Tampin) dan enam di Pulau Pinang iaitu Kepala Batas, Tasek Gelugor, Bagan, Permatang Pauh, Batu Kawan dan Bukit Mertajam.

Pulau Pinang dan Melaka memulakan tirai pengundian hari ini.

Sejumlah lapan cabang di Perak iaitu Tambun, Ipoh Timor, Ipoh Barat, Batu Gajah, Kuala Kangsar, Beruas, Parit dan Kampar terlibat dalam pengundian hari ini.

Sembilan cabang di Perak telah menyelesaikan pengundian mereka semalam.

Pahang juga menyambung pengundian hari ini dengan cabang yang terbabit ialah Paya Besar, Maran, Kuala Krau, Temerloh, Bentong, Bera dan Rompin.

Pusat pengundian Parti Keadilan Rakyat bagi cabang Paya Besar, Pahang disediakan untuk pemilihan kepimpinan Majlis Pimpinan Pusat parti itu hari ini. Secara purata peratusan keluar mengundi masih kecil. - Foto Bernama
Ringkasan keputusan yang diperolehi:

Ipoh Timor: Timbalan Presiden (Azmin, 50; Zaid, 14; Mustaffa, 2)

Kuala Kangsar: Timbalan Presiden (Mustaffa, 48, Azmin, 13; Zaid, 12)

Kampar: Timbalan Presiden (Mustaffa, 22, Azmin, 21; Zaid, 16)

Beruas: Timbalan Presiden (Azmin, 173, Zaid, 14; Mustaffa, 4)

Bagan: Timbalan Presiden (Azmin, 9; Zaid, 6; Mustaffa, 4)

Batu Kawan: Timbalan Presiden (Zaid, 94; Azmin, 59; Mustaffa, 9)

Temerloh: Timbalan Presiden (Zaid, 25; Azmin, 24; Mustaffa, 0)

Rompin: Timbalan Presiden (Zaid, 55; Azmin, 19; Mustaffa, 2)

Tampin: Timbalan Presiden (Zaid, 115; Azmin, 6: Mustaffa, 2)

Ipoh Barat: Timbalan Presiden (Mustaffa, 40, Zaid, 14; Azmin, 9)

Permatang Pauh: Timbalan Presiden (Azmin, 211; Zaid, 58; Mustaffa, 11)

Tambun: Timbalan Presiden (Mustaffa, 11; Azmin, 33; Zaid, 10);
Naib Presiden (Nurul Izzah, 120; Tian Chua, 118; Gobalakrishnan, 116; Yahya, 96)

Maran: Timbalan Presiden (Zaid, 24; Azmin, 4; Mustaffa, 1)

Rembau: Timbalan Presiden (Zaid, 49; Azmin, 7; Mustaffa, 4);
Naib Presiden (Nurul Izzah, 44; Fuziah, 39; Jonson, 30; Tian Chua, 14); Ketua AMK (Badrul Hisham, 39; Shamsul, 0)

Kepala Batas: Timbalan Presiden (Zaid, 56; Azmin, 38)

Alor Gajah: Timbalan Presiden (Zaid 104; Azmin, 93; Mustaffa, 33)

Tiada ulasan: