Jumaat, 5 Februari 2010

Pendakwaan berbaki 10 soalan untuk Saiful

SINAR HARIAN ONLINE


KUALA LUMPUR – Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Mohamad Zabidin Md Diah dimaklumkan ketua pasukan pendakwaan Datuk Mohamed Yusof Zainal Abiden pihak pendakwaan masih berbaki 10 soalan yang hendak ditanyakan kepada pengadu kes liwat yang dihadapi Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Mohamed Yusof, memaklumkan mahkamah perkara itu pada prosiding perbicaraan hari kedua di sini, semalam.

Sehubungan itu, selepas pendakwaan selesai bertanyakan baki soalan tersebut kepada Mohd Saiful Bukhari Azlan, 25, sesi pemeriksaan balas oleh pihak pembelaan boleh dilakukan.

Bagaimanapun, pada prosiding itu turut dimaklumkan sidang mahkamah terlebih dahulu akan pergi melawat ke pejabat tempat di mana rakaman kamera litar tertutup (CCTV) yang merakamkan imej Saiful menaiki lif ke tempat kejadian diambil.

Sebelum itu, sidang mahkamah dipertontonkan tayangan CCTV yang merakamkan imej Saiful yang memakai kemeja berwarna biru-bersular panjang hitam sedang masuk, menaiki, dan keluar daripada lif.

Namun, rakaman itu tidak dapat ditayangkan dengan sempurna kerana terdapat gangguan teknikal.

Anwar sedang dibicarakan atas tuduhan meliwat Mohd Saiful Bukhari Azlan di Unit 11-5-1, Kondominium Desa Damansara, Jalan Setiakasih, Bukit Damansara di ibu negara di antara pukul 3.01 petang dan 4.30 petang, 26 Jun 2008

Tiada ulasan: