Isnin, 15 Februari 2010

Kes buang bayi: Polis gerak pasukan khas

UTUSAN ONLINE


KOTA BHARU - Polis Kelantan telah menggerakkan satu pasukan khas bagi mengesan mereka yang bertindak begitu kejam membuang bayi yang mayatnya ditemui dalam keadaan terbakar di Kuala Krai, semalam.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayahnya, Asisten Komisioner Mazlan Lazim berkata, pihaknya akan memastikan mereka yang bertanggungjawab dibawa ke muka pengadilan dan menerima hukuman setimpal.

Sehubungan itu, beliau memohon kerjasama orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan untuk membantu polis mempercepatkan proses siasatan.

"Mereka yang ternampak seseorang membawa bungkusan dalam keadaan mencurigakan atau yang membakar tong sampah itu boleh membantu.

"Mereka boleh menghubungi Ketua Bahagian Siasatan Jenayah Daerah Kuala Krai, Asisten Supritendan Idris Man menerusi talian 09-9666222 atau balai polis berdekatan," katanya di sini hari ini.

Mayat bayi lelaki seberat hampir dua kilogram itu ditemui dalam keadaan yang amat meruntun perasaan di dalam sebuah tong sampah dengan badannya separuh rentung manakala kakinya bercerai daripada badan.

Mayat bayi malang itu ditemui oleh petugas Majlis Daerah Kula Krai semasa hendak memungut sampah di Jalan Tengku Zainal Abidin.

Menurut Mazlan, siasatan akan dijalankan mengikut Seksyen 318 Kanun Keseksaan kerana menyembunyikan kelahiran dan menyebabkan kematian.

"Kita juga sedang mengesan ibu kepada bayi terbabit yang kemungkinan menyerahkan kepada seseorang sebelum dibuang dan dibakar di dalam tong sampah," katanya.

Mazlan turut meminta klinik swasta yang mengetahui sebarang maklumat tentang wanita mendapatkan rawatan selepas bersalin supaya menghubungi pihak polis.

Utusan Malaysia difahamkan bayi itu telah dilahirkan dua hari sebelum kejadian dalam keadaan sudah meninggal dunia sebelum dibuang dan dibakar untuk menutup perbuatan mereka.

Sementara itu, bekas Pengerusi Yayasan Pencegahan Jenayah Kelantan, Datuk Wan Zaid Wan Abdullah berkata, kes pembuangan bayi di negeri ini amat membimbangkan dan perlu diambil tindakan segera untuk menanganinya.

Beliau mencadangkan pihak berkaitan mewujudkan lebih banyak tempat perlindungan kepada gadis-gadis yang hamil di luar nikah agar mereka dan bayi dapat diselamatkan.

Tiada ulasan: