Jumaat, 19 Februari 2010

Guan Eng tidak gentar tindakan Zahrain yang mahu menyaman beliau

SINAR HARIAN ONLINE


GEORGETOWN- “Itu hak dia, nak saman, samanlah,” itulah jawapan Ketua Menteri, Lim Guan Eng apabila diminta mengulas tindakan Ahli Parlimen Bayan Baru, Datuk Seri Zahrain Mohamed Hashim yang akan mengheret beliau ke mahkamah kerana memfitnahnya.

Guan Eng berkata, beliau tidak gentar dengan sebarang tindakan yang akan diambil oleh bekas Pengerusi Parti Keadilan Rakyat (PKR) negeri itu kerana berpegang kepada prinsip berani kerana benar.

“Saya sedikit pun tidak goyah dengan tindakan yang bakal diambil oleh beliau. Saya berpegang kepada prinsip berani kerana benar. Saya berada di pihak yang betul, kenapa perlu saya takut.

“Saya ada bukti kalau kita nak bawa perkara ini ke mahkamah dan jika ia betul ke mahkamah, biarlah mahkamah sahaja yang putuskan,” katanya selepas menghadiri Majlis Tahun Baru Cina anjuran DAP Pulau Pinang, semalam.

Menurutnya, tindakan Zahrain untuk menyamannya adalah satu tindakan ‘songsang dan terbalik’.

“Saya bercakap benar, dia letak jawatan sebab marah dengan saya tak luluskan tender RM40 juta, apa yang tidak betulnya? Biarlah dia buat sebab dia baru saja cakap, dia belum buat (saman) lagi.

“Saya pelik, yang membelakangkan prinsip dan membelakangkan rakyat adalah beliau, dan beliau pula nak saman saya, PKR tak saman dia sudah cukup baik. Dia kena ingat, beliau menang atas tiket PKR dan sekarang dia pula yang ‘lari’,” katanya.

Sebelum ini, Zahrain dikatakan akan mengheret Guan Eng ke mahkamah kerana memfitnahnya dengan mendakwa beliau keluar PKR disebabkan gagal mendapat kelulusan tender bernilai RM40 juta.

Tiada ulasan: