SINAR HARIAN ONLINE
SHAH ALAM – Transperansi Antarabangsa Malaysia (TI-M) meminta agar pihak polis serta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menjalankan satu siasatan terbuka dan telus terhadap kewujudan 'surat misteri' yang mula dibangkitkan pada perbicaraan mahkamah inkues kematian Teoh Beng Hock minggu ini.
Dalam satu kenyataan media nya, TI-M menuntut agar SPRM dikaji semula secara menyeluruh dan membuat rombakan besar-besaran sekiranya tuduhan terhadap badan tersebut ternyata benar seperti dalam 'surat misteri' terbabit.
Setiausaha Agungnya, Dr Loi Kheng Min berkata, tuduhan dalam surat tersebut amat serius kerana ia melibatkan seorang pegawai atasan SPRM.
“Kami menjangkakan SPRM akan bebas sepenuhnya, diurus oleh profesional yang mempunyai integriti tinggi, menjalankan tugas tanpa pengaruh mana-mana pihak dan menggunakan sumbernya secara produktif untuk membasmi gejala rasuah,” katanya dalam kenyataan media yang dihantar kepada Sinar Harian semalam.
'Surat misteri' yang menggunakan kepala surat SPRM bertarikh 5 Ogos itu telah dihantar oleh pihak yang mendakwa diri mereka sebagai ‘pegawai SPRM’ kepada beberapa pemimpin pembangkang dan media mendedahkan tentang salah laku seorang pegawai atasan SPRM berhubung kes kematian Teoh Beck Hong.
Surat sama juga menyebut adanya percubaan menjatuhkan kerajaan Pakatan Rakyat di Selangor oleh bekas Menteri Besar, Datuk Seri Mohamad Khir Toyo.
Rabu lalu, peguam kepada keluarga mendiang Teoh, Gobind Singh, telah menyerahkan sepucuk surat misteri kepada Mahkamah Koroner Azmil Mustapha Abas yang dikatakan dapat membantu inkues siasatan kematian setiausaha politik Exco Selangor terbabit.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan