Sabtu, 22 Ogos 2009

Saman hospital enggan rawat pesakit H1N1

UTUSAN ONLINE


KUALA LUMPUR - Kementerian Kesihatan akan bertindak menyaman hospital swasta yang enggan merawat pesakit selesema babi atau influenza A (H1N1).

Menterinya, Datuk Seri Liow Tiong Lai berkata, keengganan hospital swasta merawat pesakit H1N1 bermakna mereka tidak mematuhi arahan yang telah dikeluarkan oleh kementerian.

Kata beliau, arahan yang dikeluarkan tidak hanya perlu diikuti oleh hospital kerajaan, tetapi meliputi swasta.

Menurutnya, tambahan garis panduan mengesan simptom H1N1 telah diberikan kepada semua doktor.

''Justeru, tiada sebab hospital swasta enggan atau menolak untuk memberi rawatan kepada pesakit H1N1.

"Kerajaan membenarkan hospital swasta membuat ujian segera ke atas suspek pesakit H1N1, membekalkan antivirus, tamiflu dan seterusnya mereka mesti merawat pesakit terlibat," katanya di sini hari ini.

Beliau bercakap pada sidang akhbar selepas menyempurnakan majlis pelancaran Kempen Klinik Cegah dan Rawat Selesema Babi dan Influenza A (H1N1).

Kempen itu mendapat kerjasama syarikat Alriz Sdn. Bhd., dan Ranbaxy (Malaysia) Sdn. Bhd. yang menawarkan harga istimewa ubat antivirus FluHalt keluaran syarikat itu.

Turut hadir Pengerusi Eksekutif Alriz Sdn. Bhd., Datuk Dr. Rahman Ismail dan Pengerusi Ranbaxy (Malaysia) Sdn. Bhd., Datuk Abdullah Mohd. Yusof.

Menjelaskan lebih lanjut, Tiong Lai berkata, ujian darah yang dilakukan oleh hospital swasta dan seterusnya dihantar ke Institut Penyelidikan Perubatan (IMR) atau ke Hospital Sungai Buloh tidak dikenakan bayaran.

Dalam pada itu, beliau memberitahu, pihaknya akan membuat kajian susulan mengenai beberapa kes kematian H1N1 yang disebabkan kelewatan menerima rawatan sebelum ini.

Sementara itu, Tiong Lai berkata, sebanyak 85 klinik dan hospital swasta telah menyatakan kesediaan untuk menyertai rangkaian Klinik Cegah dan Rawat Selesema babi dan Influenza A (H1N1) itu.

Kata beliau, klinik dan hospital terbabit dikehendaki mengenakan caj tidak melebihi RM80 untuk sekotak antivirus kepada pesakit iaitu jauh lebih rendah berbanding harga pasaran RM180 sekotak.

Mereka juga, tambah beliau, digalakkan mengenakan caj minimum bagi konsultasi kes-kes mirip selesema (ILI) bagi membantu mengurangkan bebanan kewangan pesakit dalam waktu pandemik ini.

Dalam perkembangan lain, Tiong Lai berkata, kenyataan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) menyebut bagi setiap satu kes H1N1 yang disahkan melalui ujian makmal adalah gambaran bagi 20 kes lain dalam komuniti.

Oleh itu, jelasnya, dianggarkan seramai 98,540 orang dijangka dijangkiti H1N1 di negara ini.

Menurutnya, di Malaysia kadar kematian bagi wabak tersebut berjumlah 0.07 peratus atau satu kematian bagi setiap 1,500 kes jangkitan, nisbah dalam suatu nilai yang dijangkakan mengikut penularan wabak itu di seluruh dunia.

Tiong Lai juga berkata, terdapat 131 hospital kerajaan dan 400 klinik kesihatan yang mempunyai pegawai perubatan untuk memberi rawatan antivius berbanding hanya 28 hospital kerajaan sebelum ini.

''Selain itu, terdapat lebih 200 hospital dan 7,000 klinik swasta akan membantu kerajaan untuk menangani wabak H1N1,'' katanya.

Tiada ulasan: