Oleh TARMIZI ABDUL RAHIM
KUALA LUMPUR – Satu pasukan khas ditubuhkan bagi menyiasat semula jumlah kematian yang tinggi pesakit selesema babi atau influenza A (H1N1) di negara ini sehingga mencetuskan suasana panik di kalangan masyarakat.
Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr. Mohd. Ismail Merican berkata, kumpulan itu akan menjalankan analisis kenapa kematian itu berlaku dan faktor yang menyumbang kematian, sama ada berlaku kelemahan bagi pihak kerajaan atau sebaliknya.
Menurut beliau, berdasarkan kes-kes kematian yang lalu, 80 peratus daripada mangsa dikenal pasti mempunyai penyakit selain H1N1 iaitu penyakit jantung, kencing manis dan radang paru-paru.
“Ini tidak bermakna prosedur menangani H1N1 kita selama ini silap, tidak mungkin kerana sebaik sahaja kementerian dengar ada H1N1, kita sudah membuka bilik operasi dan cuma kaedah ini mungkin berbeza dengan negara lain.
“Saya yakin apa yang kita buat adalah lebih lagi daripada apa yang diminta oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO). Kita memang terlalu jujur dalam memaklumkan punca kematian akibat H1N1 ini. Ini kerana kita mahu tekankan satu mesej supaya rakyat tidak mengambil ringan penyakit ini,” katanya dalam wawancara dengan Mingguan Malaysia.
Menurut Mohd. Ismail, pada masa ini WHO telah berada di negara ini untuk melihat situasi sebenar yang berlaku sama ada prosedur diamalkan sama seperti dipraktikkan oleh negara lain.
Katanya, berbanding negara lain, mereka akan membuat kajian secara mendalam sehingga mengambil masa panjang dalam setiap kes suspek H1N1, sebelum disahkan kesahihan puncanya yang sebenar.
“Tetapi kita di sini apabila ada simptom H1N1, kita akan terus putuskan puncanya adalah H1N1. Jadi, mungkin kita terlalu telus tetapi ia bukan satu kesalahan atau kesilapan.
“Tetapi peliklah, Malaysia mencatat kematian yang banyak tetapi negara-negara sekitar begitu kurang. Itulah sebabnya kita mahu tengok balik punca kematian yang dikatakan daripada H1N1 ini,” katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan