Jumaat, 11 Mei 2018

Suraya nafi keluar BN sertai PH Kedah

ANTARAPOS

Post Pic
 
 
ALOR SETAR: Wakil rakyat baru DUN Sungai Tiang Suraya Yaacob hari ini menafikan beliau keluar Umno Barisan Nasional (BN) dan menyertai Pakatan Harapan (PH).
 
Suraya menjelaskan, gambar yang tular di media sosial yang menunjukkan beliau bersama Menteri Besar Kedah baru, Datuk Seri Mukhriz Mahathir sebenarnya dirakam pada satu mesyuarat pada 2015, apabila Mukhriz memimpin Kedah semasa pemerintahan BN dulu.
 
Beliau tidak pernah mengadakan mesyuarat dengan Mukhriz selepas PRU14.
 
Mukhriz mengangkat sumpah di hadapan Sultan Kedah Tunku Sallehuddin Ibni Almarhum Sultan Badlishah dalam satu majlis di Istana Anak Bukit hari ini.
 
Dalam posting Facebooknya, Suraya berkata BN sudah menerima hakikat mereka kalah dalam pilihan raya 9 Mei lalu.
 
“Saya ingin menekan sekali lagi, saya tetap taat kepada Umno serta BN, kini dan selamanya.
 
“Perbuatan fitnah dan mengedarkan berita palsu adalah dosa besar dalam Islam, berlawanan dengan undang-undang dan perbuatan tidak bermoral,” tambahnya dipetik laporan FMT.
 
Terdahulu, spekulasi menyatakan Suraya dan seorang lagi wakil rakyat, Norsabrina Mohd Noor akan melompat ke Pakatan Harapan (PH).
 
Ini akan membolehkan PH membentuk kerajaan dengan majoriti mudah 19 kerusi.
 
PH memperolehi 18 daripada 36 kerusi DUN pada PRU14, dengan PAS mendapat 15 kerusi manakala BN tiga.
 
 

Tiada ulasan: