Ahad, 13 Mei 2018

Salahuddin sedar ramai kecewa beliau tak dilantik MB Johor

 
Salahuddin berkata semua pihak harus faham perlantikan menteri besar tertakluk kepada apa yang tercatat dalam undang-undang tubuh kerajaan Johor.





PETALING JAYA: Timbalan Presiden Amanah Salahuddin Ayub menyedari ramai pihak yang kecewa apabila beliau tidak dilantik sebagai menteri besar Johor.

Beliau berkata semua pihak harus faham perlantikan jawatan menteri besar tertakluk kepada budi bicara dan hak mutlak Sultan Johor, seperti tercatat dalam undang-undang tubuh kerajaan Johor.

“Keputusan telah dibuat dan semua pihak seharusnya menghormatinya demi memastikan kestabilan kerajaan dan semangat permuafakatan dalam Pakatan Harapan.

“Masih banyak ruang yang saya boleh berperanan selepas ini di Johor. Apa yang penting kita mesti menunaikan tanggungjawab besar di atas mandat yang telah rakyat berikan kepada kita,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Semalam, Setiausaha PPBM Johor, Datuk Osman Sapian mengangkat sumpah sebagai Menteri Besar Johor ke-16 di depan Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar di Istana Bukit Serene, Johor Bahru.

Adun Kempas itu menerima watikah pelantikan dan melafazkan sumpah menyandang jawatan dalam upacara yang berlangsung di Balai Mengadap, Istana Bukit Serene.

Salahuddin mengucapkan tahniah kepada Osman atas perlantikannya dan akan membantu Osman menampilkan tadbir urus yang baik dan berkesan.

“SRakyat sedang memerhati kita untuk menunaikan segala janji dan manifesto kita untuk membawa rakyat Johor kepada kualiti hidup yang lebih baik di bawah kerajaan baru, kerajaan PH Johor,” katanya.

Tiada ulasan: