Ahad, 20 Mei 2018

Polis selesai geledah rumah Najib, kata peguam

 
Harpal Singh Grewal berkata, Najib kecewa barang peribadi anaknya dirampas dengan cara semberono.


Rumah Najib dikawal polis sejak awal Khamis lalu. (Gambar Reuters)


KUALA LUMPUR: Peguam Datuk Seri Najib Razak berkata, pihak berkuasa selesai menggeledah premis dikaitkan dengan bekas perdana menteri itu dalam siasatan ke atas dakwaan rasuah dan pengubahan wang 1MDB.

“Setahu kami, ia sudah selesai,” kata Datuk Harpal Singh Grewal kepada media di luar rumah Najib di Jalan Langgak Duta, Taman Duta, hari ini.

Rumah Najib dikawal polis sejak awal Khamis lepas dan pemeriksaan rapi dijalankan di premis berkenaan oleh Jabatan Siasatan Jenayah Komersial dan unit anti-pengubahan wang.

Tiga kondominium di Pavilion Residences, di mana 2 daripadanya milik anak Najib, Norashman (Ashman) dan Nooryana Najwa (lebih dikenali sebagai Gina), turut digeledah, serta Pejabat Perdana Menteri dan kediaman rasmi perdana menteri di Seri Perdana, Putrajaya.

Harpal berkata, Najib kecewa barang peribadi anaknya dirampas dengan cara semberono.

Katanya, polis tidak mengesahkan sama ada barang yang dirampas itu ada kaitan dengan siasatan.

“Pakaian yang dirampas dari rumah Najwa, kasut dan kasut bayi yang diambil tidak ada kena-mengena dengan siasatan. Mereka berdua tidak ada kaitan sama sekali dengan 1MDB atau syarikat yang disiasat.”

Harpal berkata, barang peribadi milik Ashman seperti telefon bimbit lama, iPad dan sebuah komputer riba turut dirampas, begitu juga jam serta komputer riba pembantunya.

Beliau berkata, pakaian dan kasut yang dirampas dari rumah Gina pula dibeli atau dihadiahkan kepadanya sejak sekian lama. Hanya pembantu rumah Gina berada di rumah ketika penggeledahan dilakukan.

Harpal berkata, anak Najib mempunyai pekerjaan sendiri, sementara suami Gina merupakan ahli perniagaan berjaya dan datang dari keluarga berada.

Tiada ulasan: